Jumaat, 15 Disember 2023 | 2:56pm

Aliran masuk pelaburan asing dijangka meningkat tahun hadapan - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dijangka berterusan ke Malaysia pada tahun hadapan sekali gus memberikan impak positif kepada ekonomi negara.

Affin Hwang Investment Bank Bhd berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan kepada lencongan perdagangan ke rantau ini susulan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berterusan.

Selain itu katanya, strategi China+1 dan Taiwan+1, iaitu langkah yang diguna pakai oleh syarikat multinasional (MNC) dalam mengurangkan dan mengelak kebergantungan kepada aktiviti pengeluaran di China dan Taiwan serta syarikat yang berpangkalan di China.

Malah nilai FDI itu juga melebar ke dalam industri baharu, terutamanya kemudahan pengeluaran komponen semikonduktor dan kenderaan elektrik (EV) serta pelaburan pusat data oleh MNC pada 2022-2023.

"Jumlah pelaburan yang diluluskan adalah RM225 bilion pada sembilan bulan pertama 2023, melebihi sasaran tahunan kerajaan sebanyak RM220 bilion. FDI menyumbang 60 peratus daripada pelaburan yang diluluskan atau RM135 bilion.

"Kami percaya faktor penyumbang kepada aliran masuk FDI ialah keyakinan yang bertambah baik daripada pelabur asing terhadap kestabilan politik Malaysia, iklim pelaburan yang kondusif dan prospek pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Mengulas lanjut, Affin Hwang Investment berkata, unjuran secara menyeluruh Malaysia pada tahun hadapan adalah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar dijangka meningkat kepada 4.5 peratus daripada 3.7 peratus pada 2023.

Ini katanya disokong oleh jangkaan pemulihan dalam perdagangan global dan peningkatan perniagaan aktiviti pelaburan bermula pertengahan 2024 serta pertumbuhan penggunaan swasta yang teguh.

Kestabilan politik di Malaysia dengan kerajaan yang kekal berkuasa selepas ulang tahun pertamanya akan memacu prestasi pasaran dan saham pada 2024.

Ini adalah membabitkan pembaharuan struktur ekonomi, mempercepatkan perbelanjaan infrastruktur, memajukan pelan peralihan tenaga dan perindustrian serta pengembangan pusat data.

Ringgit juga katanya akan mengukuh bermula separuh kedua 2023 dengan jangkaan ekonomi maju akan mula mengurangkan kadar faedah.

"Rizab Persekutuan (FED) bakal mengurangkan kadar faedah pada suku keempat 2024, membawa kepada kelemahan dolar.

"Digandingkan dengan aliran masuk FDI yang tinggi dan potensi aliran masuk bersih portfolio, kami menjangkakan ringgit yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun hadapan pada 4.45 hingga 4.55," katanya.

Berita Harian X