Khamis, 14 Disember 2023 | 5:49pm
Gambar fail. Pejabat Ecoworld di EcoWorld Sanctuari, Telok Panglima Garang. NSTP/ AZIAH AZMEE
Gambar fail. Pejabat Ecoworld di EcoWorld Sanctuari, Telok Panglima Garang. NSTP/ AZIAH AZMEE

EcoWorld Malaysia capai RM3.61 bilion jualan, atasi sasaran

KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld Malaysia) merekodkan jualan sebanyak RM3.61 bilion pada tahun kewangan 2023 berakhir 31 Oktober 2023 (TK23), melebihi sasaran ditetapkan pada RM3.5 bilion.

Menurut kumpulan itu dalam kenyataan hari ini, Eco Business Parks mencatatkan RM1.04 bilion dalam jualan industri, yang tertinggi pernah dicapai untuk tempoh satu tahun.

"Eco Hubs pula menyumbang RM515 juta dalam jualan hartanah komersil pada TK23, mewakili peningkatan 15 peratus berbanding TK22.

"Jumlah jualan kediaman pada TK23 mencecah RM2.05 bilion di belakang Eco Townships dan Eco Rise kumpulan.

"Tahun ini, EcoWorld merekodkan RM1.47 bilion daripada jualan rumah dalam Eco Townships yang berharga melebihi RM650,000 dan RM577 juta daripada rumah berharga di bawah RM650,000, terutamanya daripada siri pangsapuri 'duduk' kumpulan itu," katanya.

Pada suku keempat berakhir 31 Oktober 2023 (S4TK23), keuntungan bersih EcoWorld Malaysia mencecah RM3.29 juta, iaitu hampir dua kali ganda daripada RM1.78 juta yang dicatatkan pada suku sama pada 2022.

Kumpulan itu melaporkan pendapatan sebanyak RM844.46 juta pada S4TK23, meningkat daripada RM559.28 juta pada S4TK22.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah, berkata TK23 adalah tahun penting bagi EcoWorld Malaysia kerana ia menandakan tahun ke-10 mereka dalam industri.

Katanya, operasi kumpulan itu di Malaysia mencapai keuntungan tertingginya, berkembang dengan kukuh daripada purata tahunan RM53.7 juta dalam tiga tahun pertama sebagai kumpulan hartanah kepada RM284.7 juta pada TK23

"Kami akan mengekalkan sasaran jualan pada RM3.5 bilion untuk operasi Malaysia kerana ia memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan dengan menambah baik pulangan kukuh daripada bank tanahnya.

"Selanjutnya, memandangkan kedudukan tunai kumpulan yang sihat dan kunci kira-kira yang kukuh, EcoWorld Malaysia sedang giat berusaha untuk memperoleh lebih banyak bank tanah untuk memperluaskan keluasan dan kedalaman penawaran produknya di bawah setiap empat tonggak pendapatannya, dengan tujuan untuk meningkatkan pertumbuhan tawaran produk masa depannya," katanya.

Berita Harian X