Khamis, 14 Disember 2023 | 2:42pm
Pengarah Komunikasi dan Kelestarian Hal Ehwal Awam Coca-Cola Bottlers Malaysia, Malaysia-Singapura-Brunei, Khairul Anwar Ab Gahani (kiri) dan Pengurus Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian Coca-Cola Far East Limited (PACS), Wan Ahmad Syazwan Mohamed pada majlis pelancaran botol Coca-Cola Original Taste dan Coca-Cola Zero Sugar 500ml yang diperbuat daripada 100 peratus kitar semula di EQ Hotel. - NSTP/ AZIAH AZMEE
Pengarah Komunikasi dan Kelestarian Hal Ehwal Awam Coca-Cola Bottlers Malaysia, Malaysia-Singapura-Brunei, Khairul Anwar Ab Gahani (kiri) dan Pengurus Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian Coca-Cola Far East Limited (PACS), Wan Ahmad Syazwan Mohamed pada majlis pelancaran botol Coca-Cola Original Taste dan Coca-Cola Zero Sugar 500ml yang diperbuat daripada 100 peratus kitar semula di EQ Hotel. - NSTP/ AZIAH AZMEE

Coca-Cola guna botol plastik kitar semula

KUALA LUMPUR: Coca-Cola Malaysia berada di landasan tepat dalam penggunaan botol plastik kitar semula bagi produk keluarannya.

Pengarah Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian Malaysia Singapura Brunei, Coca-Cola Bottlers Malaysia Sdn Bhd, Khairul Anwar Ab Gahani, berkata, langkah itu akan dimulakan dengan pembungkusan botol plastik bagi produk Coca-Cola Original Taste dan Coca-Cola Zero Sugar 500 milileter (ml).

Beliau berkata, kedua produk itu akan diperbuat daripada 100 peratus botol plastik kitar semula dengan tidak termasuk penutup dan label.

"Coca-Cola kini menawarkan sekurang-kurangnya satu jenama yang diperbuat daripada 100 peratus botol plastik kitar semula di lebih 40 negara di seluruh dunia.

"Botol plastik PET kitar semula 100 peratus akan mengekalkan kualiti tinggi yang diharapkan pengguna, mematuhi piawaian global ketat syarikat Coca-Cola untuk pembungkusan botol plastik gred makanan.

"Selain itu, ia juga mendapat pengiktirafan halal oleh badan pemeriksa halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya selepas pelancaran botol plastik kitar semula Coca-Cola di sini hari ini.

Khairul Anwar berkata, walaupun secara dasarnya penggunaan bahan kitar semula membabitkan kos yang lebih tinggi berbanding penggunaan botol biasa, namun Coca-Cola tidak akan menaikkan harga jualan produknya itu.

Beliau berkata, ini kerana langkah kumpulan itu adalah berdasarkan kepada inisiatif ke arah kemampanan pembungkusan dengan sasaran untuk menggunakan sekurang-kurangnya 50 peratus kandungan kitar semula dalam pembungkusannya menjelang 2030.

"Matlamat kami adalah untuk terus menggunakan bahan kitar semula, menyumbang dengan ketara kepada objektif alam sekitar Malaysia.

"Dengan membabitkan diri secara aktif dalam amalan mampan dan menggalakkan ekonomi pekeliling, kami berusaha untuk memberikan sumbangan yang berterusan ke arah masa depan yang lebih mampan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian Coca-Cola Malaysia, Wan Ahmad Syazwan Mohamed berkata, kumpulan juga menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak yang terbabit dalam kitar semula.

Beliau berkata, kumpulan ingin mengutip botol Coca-Cola yang digunakan dan dikitar semula bagi menghasilkan produk botol baharu.

Usaha berterusan itu juga akan terus dipertingkatkan dengan sasaran pengumpulan 100 peratus botol Coca-Cola untuk tujuan kitar semula.

"Coca-Cola Bottlers Malaysia juga memacu inovasi dalam pembungkusan dan meningkatkan kapasiti kitar semula di Malaysia.

"Botol plastik 100 peratus kitar semula menjalani pemprosesan dan pembuatan tempatan di kilang pembotolan Coca-Cola di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

"Komitmen ini juga seiring dengan slogan 'Dari Botol Jadi Botol', menandakan perjalanan transformatif yang dilalui setiap botol," katanya.

Berita Harian X