Selasa, 12 Disember 2023 | 1:17pm
OCBC Bank (Malaysia) Bhd
OCBC Bank (Malaysia) Bhd

OCBC Bank dinobat bank terbaik Malaysia oleh The Banker London

KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dipilih sebagai 'Bank Terbaik 2023' oleh The Banker yang berpangkalan di London.

OCBC Bank, salah satu daripada bank terulung di Malaysia yang beroperasi selama lebih 90 tahun, adalah sebahagian daripada Kumpulan OCBC di Singapura.

Kumpulan adalah institusi perbankan kedua terbesar di rantau ini berasaskan nilai aset.

'Bank Terbaik' yang disampaikan oleh The Banker ialah program anugerah perbankan global yang mengiktiraf pencapaian luar biasa institusi kewangan berasaskan penilaian data lembaran imbangan, inisiatif strategik, teknologi serta produk dan perkhidmatan baharu.

Skop anugerah meliputi lebih daripada 120 negara di seluruh dunia, dengan pengadilan dilakukan oleh panel pengarang yang terdiri daripada pakar serantau dan sektor.

The Banker, perkhidmatan yang disediakan Financial Times, ialah sumber utama bagi analisis kewangan global dan risikan berasaskan data.

Mengulas mengenai sebab OCBC Bank dipilih, The Banker menyatakan pendekatan menyeluruh bank itu untuk menambah baik operasi perbankannya, mengambil langkah untuk meningkatkan komitmen kepada usaha mesra alam, menyokong pelanggan runcit dan membuka peluang baharu bagi kakitangannya.

Ia berkata, institusi kewangan itu telah menandatangani memorandum kerjasama dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia pada Februari 2023 untuk mempromosi sistem operasi karbon rendah, yang telah disepadukan ke dalam pelan pembiayaan peralihan bank bagi pelanggan korporat dan perusahaan kecil dan sederhana.

"Menerusi platform ini, pelanggan akan diberi panduan mengenai cara untuk mengurangkan pelepasan karbon sambil meningkatkan kecekapan dan mengurangkan sisa, yang seharusnya menghasilkan penjimatan kos

secara keseluruhan. 

"Pelancaran aplikasi perbankan pengguna OCBC Bank pada akhir 2022 menyaksikan peralihan dalam tawaran digitalnya. Dibina berasaskan teras digital yang meliputi antara muka awan-asli dan pengaturcaraan aplikasi, usaha ini telah membolehkan OCBC Bank mencapai tahap skala, fleksibiliti dan ketangkasan yang lebih tinggi.

"Kemudahan itu membolehkan pemprosesan akaun secara terus bagi pembukaan akaun dan pemeriksaan pengenalan pelanggan," kata The Banker.

Di samping itu, ia berkata pelanggan runcit diberi sokongan dengan pelaksanaan 'kill switch' atau 'suis pemati' pada Disember 2022, yang membolehkan mereka serta-merta membekukan akaun bank dan kad menerusi kemudahan respons suara interaktif layan diri.

OCBC Bank ialah perintis yang melancarkan kemudahan berkenaan di Malaysia.

Mengenai program dalaman OCBC Bank pula, The Banker menyatakan bahawa OCBC Bank telah berusaha membangunkan bakat-bakat milenial dengan pelancaran Penggiliran Kerja Graduan untuk Pengalaman Kerja Optimum (Grow) pada bulan Jun 2022.

Program pengalaman kerja ini membolehkan kakitangan muda bertukar-tukar tanggungjawab berlainan dalam perniagaan sebelum dinilai untuk proses pengesahan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OCBC Bank, Tan Chor Sen berkata: "Kami berbesar hati untuk menerima pengiktirafan ini, yang sesungguhnya membuktikan ketepatan hala tuju kami selama ini, berkisar pada kelestarian, pendigitalan, tumpuan terhadap pelanggan dan kakitangan.

"Anugerah ini akan mendorong kami bukan sahaja melakukan lebih lagi untuk masyarakat di tempat kami beroperasi, tetapi juga terus mencabar diri kami untuk cemerlang dan berusaha lebih gigih."

Berita Harian X