Ahad, 10 Disember 2023 | 12:53pm
Serba Dinamik Holdings Bhd -NSTP/Faiz Anuar
Serba Dinamik Holdings Bhd -NSTP/Faiz Anuar

Serba Dinamik alami kerugian bersih RM80.67 juta

KUALA LUMPUR: Kerugian bersih Serba Dinamik Holdings Bhd berkurangan kepada RM80.67 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2023 daripada kerugian bersih RM104.60 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu disokong oleh kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahannya (EPCC), yang menjadi satu-satunya segmen yang tidak mengalami kerugian pada suku di bawah kajian.

Bagaimanapun, perolehan merosot kepada RM13.75 juta daripada RM213.58 juta sebelumnya.

Serba Dinamik dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, selain perniagaan EPCC, semua perniagaan lain merosot pada suku pertama tahun kewangan diterajui oleh segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) yang mencatatkan peningkatan kerugian kasar sebanyak RM49.35 juta daripada RM53.15 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Ia berkata, segmen pendidikan dan latihan (E&T) dan perkhidmatan lain mengalami kerugian kasar RM4.97 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 berbanding keuntungan kasar RM322,000 pada suku pertama tahun kewangan manakala kerugian kasar perniagaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) naik kepada RM253,000 daripada kerugian kasar RM117,000 pada suku yang sama tahun lalu.

Serba Dinamik berstatus syarikat Nota Amalan (PN17) itu berkata, perbelanjaan korporat dan penghapusan penyatuan turut mencatatkan kerugian kasar RM22.11 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 berbanding kerugian kasar RM67.24 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Mengenai pembahagian geografi, rantau Asia Tenggara menyumbang RM5 juta pada suku berkenaan, yang kebanyakannya adalah hasil yang dijana di Malaysia," katanya.

Ia berkata, di peringkat antarabangsa, syarikat itu tidak mencatatkan hasil di Asia Barat tetapi mencatat pendapatan RM8.7 juta dari Eropah melalui anak syarikatnya.

Melangkah ke hadapan, Serba Dinamik berkata lembaga pengarah menjangkakan operasi syarikat akan kekal mencabar berikutan ketidaktentuan ekonomi global serta cabaran semasa yang dihadapi syarikat daripada perspektif kecairan.

Ia berkata, segmen O&M akan kekal sebagai kecekapan teras dan menyediakan asas operasinya.

"Dengan kumpulan diklasifikasikan sebagai syarikat PN17, lembaga berjanji untuk menyelesaikan isu yang sedang berjalan termasuk pelan penstrukturan dan penyusunan semula, demi pihak berkepentingan," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X