Jumaat, 8 Disember 2023 | 3:48pm
Gambar fail - Reuters
Gambar fail - Reuters

Shell Malaysia rancang buka 70 kafe tahun hadapan

KUALA LUMPUR: Shell Malaysia merancang untuk melancarkan sejumlah 150 cawangan Shell Cafe di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, menjelang akhir 2024.

Pengurus Besar Shell Mobility Malaysia Seow Lee Ming berkata syarikat itu merancang untuk membuka 80 Shell Cafe menjelang akhir tahun ini dan 70 Shell Cafe pada 2024.

"Memandangkan pengalaman kemudahan runcit kami semakin berkembang, kami teruja untuk mengumumkan pembukaan 80 Shell Cafe menjelang akhir tahun.

"Melihat ke hadapan pada 2024, kami menyasarkan untuk berkembang dengan lebih jauh lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Shell Cafe di APW Bangsar hari ini.

Mengenai pengembangan perniagaan Shell Cafe di luar stesen minyaknya, Seow berkata walaupun ia ada dalam perancangan, namun bergantung kepada keperluan pelanggan sebelum pengembangan itu diteruskan.

"Buat masa ini, kami mahu menumpukan kepada pembukaan cawangan Shell Cafe di stesen minyak terlebih dahulu. Kami tidak akan menafikan sebarang kemungkinan untuk membuka kafe itu di luar stesen minyak kami.

"Shell Cafe berfungsi sebagai bukti dedikasi Shell dalam menyesuaikan diri dengan pilihan dinamik penggunanya," tambah beliau. – Bernama

Berita Harian X