Jumaat, 8 Disember 2023 | 1:06pm
Gambar fail. - Reuters
Gambar fail. - Reuters

UMWT jual 10,263 unit Toyota, Lexus bulan lalu

SHAH ALAM: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menutup November 2023 dengan prestasi jualan positif apabila menjual 10,263 unit kenderaan merangkumi 10,020 unit model Toyota 243 unit Lexus.

UMWT dalam satu kenyataan, berkata pencapaian itu menyaksikan jumlah jualan bagi tempoh Januari hingga November berada pada 97,705 unit, lebih tinggi berbanding 90,595 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

"Ia menandakan kenaikan 7.8 peratus tahun ke tahun bagi tempoh 11 bulan 2023," katanya.

UMWT berkata, sebagai langkah strategik untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan dan kebolehcapaian, syarikat itu telah menambah dua rangkaian pengedarnya di Kota Kinabalu, Sabah.

Pusat pertama ada penempatan semula cawangan 1S di Putatan yang dikendalikan Harapan Menang Sdn Bhd dengan premis baharu menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

Serentak dengan itu, UMWT meramikan pembesaran cawangan 3S baharu di Penampang, Sabah yang dikendalikan oleh Armada KK Automobile Sdn Bhd.

Dengan 18 ruang servis, ia menawarkan perkhidmatan yang lebih pantas dan cekap, sejajar dengan komitmen UMWT terhadap dasar mengutamakan pelanggan.

"Pengembangan ini menekankan dedikasi UMWT untuk menyediakan rangkaian yang luas dan boleh diakses untuk pelanggannya yang dihargai," katanya.

Sementara itu, Presiden UMWT, Datuk K Ravindran berkata, komitmen syarikat adalah untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan melangkaui urus niaga.

"Selaras dengan komitmennya untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, UMWT memperkenalkan promosi 'Drive into the New Year with Toyota' pada Disember," katanya.

Pelanggan boleh menikmati pembiayaan sehingga 100 peratus untuk model terpilih, ditambah dengan faedah promosi sehingga RM15,000 merentasi 13 model Toyota, termasuk Vios serba baharu dan Yaris yang baharu dikemas kini.

Berita Harian X