Isnin, 4 Disember 2023 | 5:53pm
Spotify mahu membina perniagaan yang lebih mantap tahun depan - Foto Reuters
Spotify mahu membina perniagaan yang lebih mantap tahun depan - Foto Reuters

Spotify buang 1,600 pekerja bagi kecilkan kos

LONDON: Gergasi penstriman muzik, Spotify akan memberhentikan satu perlima pekerja di peringkat perniagaan yang akan menjejaskan kira-kira 1,600 jawatan, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Ketua-ketua di firma teknologi itu dalam satu nota kepada kakitangan berkata ia akan membuang 17 peratus tenaga kerja dalam usaha menjadi lebih cekap bagi menghadapi kelembapan pertumbuhan.

Syarikat itu menggaji kira-kira 9,300 pekerja di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Spotify, Daniel Ek, berkata: "Mengambil kira jurang antara keadaan sasaran kewangan dan kos operasi kita, saya memutuskan bahawa tindakan besar untuk mengecilkan kos adalah pilihan terbaik untuk mencapai matlamat kita.

"Walaupun saya yakin bahawa ini adalah tindakan yang betul untuk syarikat kita, saya juga memahami ini amat sukar untuk pasukan kita.

"Ramai pekerja yang rajin dan bijak akan meninggalkan kita."

Beliau berkata, perniagaan akan membina 'Spotify yang lebih mantap' pada 2024 hasil daripada pemberhentian itu.

Ini adalah pembuangan pekerja terbaharu di Spotify tahun ini, dengan syarikat mula mengumumkan pemberhentian kira-kira 600 jawatan pada Januari lalu.

Pada musim panas, syarikat berpangkalan di Sweden itu mengumumkan untuk memberhentikan kira-kira 200 pekerja dalam unit podcast dalam pada ia terus mengurangkan kos.

Syarikat turut menaikkan yuran langganan di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Australia pada Julai, ketika ia mengumumkan akan memindahkan kenaikan kos kepada pengguna.

-BERNAMA-dpa

Berita Harian X