Jumaat, 1 Disember 2023 | 12:28pm
Pelan penyusunan semula status PN17 Capital A dijangka siap suku kedua tahun kewangan 2024 - NSTP/Mohd Adam Arinin
Pelan penyusunan semula status PN17 Capital A dijangka siap suku kedua tahun kewangan 2024 - NSTP/Mohd Adam Arinin

Capital A sasar aktifkan 187 pesawat akhir tahun ini

KUALA LUMPUR: Capital A Bhd mengulangi bahawa pemulihan penumpang semakin baik dan menyasarkan untuk mengaktifkan semula 187 pesawat pada suku keempat 2023 dengan 161 pesawat tersedia untuk operasi dan kapasiti mencapai 74 peratus paras sebelum COVID-19.

Kumpulan penerbangan itu juga berada dalam landasan untuk mengumumkan pelan penyusunan status Nota Amalan 17 (PN17) menjelang akhir bulan ini yang dijangka siap suku kedua tahun kewangan 2024.

Penganalisis Kenanga Research, Raymond Choo Ping Khoon, berkata berdasarkan taklimat yang diberikan semalam, Capital A bercadang untuk melepaskan kumpulan penerbangannya kepada AirAsia X sebagai pertukaran saham untuk diagihkan kembali kepada pemegang saham.

Dalam masa sama, katanya Capital A akan memanfaatkan musim perjalanan yang tinggi dan perjalanan bebas visa baharu antara China dan Malaysia bermula 1 Disember 2023.

"Selain pengaktifan semula armada pesawat, Capital A menjangkakan peningkatan lebih baik daripada persekitaran hasil tinggi semasa.

"Khususnya, kumpulan itu menjangkakan suku keempat tahun kewangan 2023 yang kukuh bersedia untuk peningkatan pendapatan di tengah-tengah permintaan perjalanan yang kukuh ditambah pula dengan tambang yang lebih tinggi semasa musim puncak," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dari segi digital, Ping Khoon berkata, Capital A melaksanakan langkah penjimatan kos yang berkesan, terutamanya untuk menghapuskan barisan perniagaan yang tidak strategik.

Beliau berkata, pasukan itu kini menumpukan kepada mengembangkan inventori hotel dan meningkatkan kadar penukaran untuk mengukuhkan kehadirannya secara ketara dalam sektor hospitaliti.

Katanya, inisiatif strategik fintech BigPay untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan prestasi membuahkan hasil yang positif, dicerminkan dalam kerugian yang mengecil pada suku ini.

"Kerjasama rapat dengan AirAsia dan airasia MOVE dijangka meningkatkan lagi jualan pada suku akan datang, bersama-sama dengan rancangan 2024 untuk mengembangkan penawaran produknya ke pasaran serantau baharu seperti Indonesia, Thailand dan Filipina," katanya.

Capital A mencatatkan kerugian bersih yang lebih mengecil kepada RM178.82 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 berbanding kerugian bersih RM901.31 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Pendapatannya bagaimanapun meningkat kepada RM4.23 bilion berbanding RM1.96 bilion.

Dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, Capital A mencatatkan keuntungan bersih RM996.55 juta, pemulihan ketara berbanding kerugian bersih RM2.74 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatannya meningkat kepada RM9.9 bilion berbanding RM4.2 bilion.

Berita Harian X