Khamis, 30 November 2023 | 9:02pm
Capital A Bhd - Foto Reuters
Capital A Bhd - Foto Reuters

Capital A berjaya kurangkan kerugian kepada RM178.82 juta

KUALA LUMPUR: Capital A Bhd mengurangkan kerugian bersih secara ketara kepada RM178.82 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir pada 30 September 2023, daripada RM901.31 juta dalam tempoh sama setahun lalu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan penerbangan itu berkata perolehan hasilnya turut meningkat lebih dua kali ganda kepada RM4.23 bilion daripada RM1.96 bilion pada suku ketiga 2022, disumbangkan terutamanya oleh pemulihan permintaan kukuh bagi perjalanan udara domestik dan antarabangsa.

"Bagi suku di bawah kajian itu, 86 peratus daripada perolehan hasil kumpulan disumbangkan oleh segmen penerbangan manakala baki 14 peratus daripada logistik, digital dan cabang perniagaan lain," katanya.

Suku semasa turut merekodkan kerugian pertukaran asing sebanyak RM169.3 juta akibat peningkatan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding mata wang tempatan, katanya.

Selain itu, tempoh sembilan pertama bagi tahun kewangan berakhir pada 30 September 2023 menyaksikan Capital A kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM996.55 juta berbanding kerugian bersih RM2.74 bilion dalam tempoh sama pada 2022.

Perolehan hasil bagi sembilan bulan pertama 2023 meningkat kepada RM9.91 bilion daripada RM4.24 bilion sebelum ini.

Mengulas prospek, Capital A berkata kumpulan itu menyasarkan untuk mengembalikan operasi 187 pesawat menjelang akhir tahun, kira-kira 80 peratus daripada paras prapandemiknya dengan memanfaatkan musim kemuncak tempoh pengembaraan serta langkah pengecualian visa antara China dan Malaysia bermula 1 Disember ini.

"Dalam usaha mengemudi suku terakhir ini, inisiatif strategik kami merentasi korporat, penerbangan, logistik, kejuruteraan dan usaha digital yang dilaraskan bagi melonjakkan kumpulan ke arah masa depan pertumbuhan yang mampan, kecemerlangan operasi dan kekukuhan kewangan.

"Sehubungan itu, kami menjangkakan suku akhir yang kukuh untuk menamatkan 2023 dan kekal yakin dengan kemampuan kumpulan bagi merealisasikan prestasi sebenar pada 2024," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X