Rabu, 29 November 2023 | 9:56pm
Bilangan penumpang MAHB mencecah 32.7 juta pada suku ketiga 2023 -NSTP/Aizuddin Saad
Bilangan penumpang MAHB mencecah 32.7 juta pada suku ketiga 2023 -NSTP/Aizuddin Saad

MAHB kembali untung suku ketiga selepas rugi setahun lalu

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM94.76 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 berbanding kerugian bersih RM9.04 juta disebabkan hasil yang meningkat dan keuntungan daripada syarikat-syarikat bersekutu dan usaha sama serta kos kewangan yang lebih rendah.

Hasil meningkat kepada RM1.28 bilion daripada RM863.61 juta, dipacu oleh jumlah penumpang yang lebih tinggi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata prestasi yang lebih baik itu disumbangkan oleh pengembangan laluan syarikat penerbangan, penyambungan semula trafik penerbangan di Asia utara, pelancaran operasi syarikat penerbangan baharu, perjalanan musim panas dan beberapa siri cuti umum serta cuti sekolah.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, bagi suku ke suku, hasil daripada operasi lapangan terbang pada suku ketiga melonjak 49.7 peratus daripada RM799.3 juta kepada RM1.2 bilion, manakala pendapatan segmen aeronautik meningkat daripada RM449.8 juta kepada RM701.8 juta di tengah-tengah pemulihan dalam trafik penerbangan.

MAHB berkata, bilangan penumpang bagi kumpulan itu mencecah 32.7 juta daripada 24.1 juta pada suku yang sama tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, trafik untuk operasi Malaysia berjumlah 21.8 juta penumpang, lebih tinggi berbanding 15 juta penumpang pada suku yang sama tahun sebelumnya," katanya.

Begitu juga dengan operasi di Türkiye, MAHB berkata ia terus menunjukkan pemulihan trafik penumpang, meningkat daripada 9.1 juta kepada 10.9 juta penumpang dalam tempoh yang sama.

Sementara itu, hasil segmen bukan aeronautik meningkat daripada RM349.5 juta kepada RM494.5 juta, sebahagian besarnya disebabkan sumbangan lebih baik daripada hasil komersial melalui operasi di Malaysia dan di Türkiye.

MAHB berkata, hasil daripada operasi bukan lapangan terbang meningkat daripada RM64.3 juta kepada RM79.9 juta disebabkan hasil yang lebih tinggi daripada projek dan pembaikan penyelenggaraan serta perniagaan hotel.​

"Secara keseluruhannya, operasi Malaysia mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 61.8 peratus daripada RM472.4 juta kepada RM764.5 juta.

"Manakala, operasi Türkiye dan Qatar masing-masing mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 32.8 peratus daripada RM365.8 juta kepada RM485.9 juta dan sebanyak 2.0 peratus daripada RM25.4 juta kepada RM25.9 juta," katanya.​

MAHB berkata, bahagian hasil daripada syarikat-syrikat bersekutu mencatatkan keuntungan sebanyak RM8.7 juta, yang mana RM9.9 juta lebih tinggi daripada bahagian kerugian sebanyak RM1.2 juta bagi suku yang sama pada tahun kewangan 2022.

Ia berkata, bahagian keuntungan yang lebih tinggi disumbangkan oleh KL Aviation Fueling System Sdn Bhd (KAF), MFMA Development Sdn Bhd (MFMA) dan Cooling Energy Supply Sdn Bhd (CES) iaitu masing-masing sebanyak RM8.7 juta, RM900,000 dan RM500,000.

"Bagaimanapun, keuntungan ini telah diimbangi oleh kerugian daripada Alibaba KLIA Aeropolis Sdn Bhd sebanyak RM1.4 juta," katanya.

MAHB berkata, bahagian hasil usaha sama pada suku dalam tinjauan mencatatkan keuntungan sebanyak RM1.8 juta, lebih rendah sebanyak RM2.4 juta berbanding RM4.2 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022.

"Bahagian keuntungan yang lebih rendah disumbangkan terutamanya daripada Segi Astana Sdn Bhd (SASB) dan Airport Cooling Energy Supply Sdn Bhd (ACES), masing-masing sebanyak RM1 juta dan RM0.8 juta," katanya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, MAHB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM255.47 juta berbanding kerugian bersih RM171.94 juta bersandarkan kepada hasil yang lebih tinggi sebanyak RM3.54 bilion.

MAHB berkata, unjuran kumpulan itu terus berdaya tahan kerana ia bergantung kepada pemulihan trafik penumpang yang berterusan dan menambah baik operasi komersial.

"Bagaimanapun, MAHB kekal teguh dalam langkah-langkah pengoptimuman kos dan hasil untuk mengurangkan kesan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan," katanya.

MAHB berkata, ia juga tidak menjangkakan sebarang kesan material terhadap operasi dan jumlah trafiknya yang timbul daripada perkhidmatan MYAirline yang digantung pada 12 Oktober 2023.

"Destinasi dan laluan yang sebelum ini di bawah perkhidmatan MYAirline, kini diambil alih dengan lancar oleh AirAsia, Batik Air dan Malaysia Airlines.

"Hasilnya, penumpang akan terus mempunyai pelbagai pilihan untuk perjalanan udara ke destinasi yang sama," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X