Rabu, 29 November 2023 | 12:43pm
Farm Fresh Bhd
Farm Fresh Bhd

Farm Fresh perkukuhkan lagi perniagaan tahun depan

KUALA LUMPUR: Farm Fresh Bhd dijangka melancarkan aiskrim dalam bentuk barangan bungkusan pengguna (CPG) awal tahun depan.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Soong Wei Siang, berkata dengan memanfaatkan kepakaran Inside Scoop dan rangkaian pengedaran Sin Wah Ice Cream yang baru diambil alih, pelancaran produk baharu dijangka memperkukuh pertumbuhan jualan yang berterusan, di samping pertumbuhan mantap bagi barangan sejuk dan penembusan pasaran susu UHT.

"Barisan barangan akan meliputi pasaran mewah (di bawah jenama Inside Scoop) dan juga pasaran am (aiskrim berharga di bawah RM2 di bawah jenama Farm Fresh dan Sin Wah).

"Sementara itu, pengembangan kapasiti sedang berjalan membabitkan kilang Bandar Enstek selepas kilang di Taiping beroperasi awal tahun ini," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Wei Siang berkata, RHB Investment Bank meletakkan saranan 'beli' terhadap saham Farm Fresh daripada 'neutral' dengan sasaran harga lebih tinggi RM1.51 sesaham berbanding RM1.20, dengan potensi kenaikan 15 peratus.

"Walaupun keputusan separuh pertama tahun kewangan 2024 Farm Fresh (Mac) gagal menepati jangkaan, kami menyambut baik lantunan margin untung kasar. Perolehan berturutan sepatutnya meningkat lagi berikutan terdapat faktor penggalak kos dan momentum pertumbuhan jualan yang kukuh.

"Gambaran pertumbuhan buat jangka lebih panjang juga menarik, dengan pelbagai pelan pengembangan dirancang demi meluaskan usahanya dalam memanfaatkan pengambilan bahan tenusu yang semakin meningkat.

"Kami juga menyukai syarikat ini kerana nilai jenamanya yang kukuh dan pasukan pengurusan bercita-cita tinggi," katanya.

Keputusan separuh pertama tahun kewangan 2024 gagal mencapai jangkaan dengan untung bersih teras sejumlah RM20 juta (susut 36 peratus tahun ke tahun). menepati hanya 27 hingga 29 peratus daripada ramalan bank pelaburan itu dan konsensus akibat pemulihan margin yang lebih lemah daripada jangkaan.

"Selepas keputusan diumumkan, kami memotong perolehan tahun kewangan 2024 sebanyak 11 peratus, namun kekalkan ramalan tahun kewangan 2025 dan 2026.

Secara tahun ke tahun, pendapatan Farm Fresh pada separuh pertama tahun kewangan 2024 melonjak 25 peratus didorong oleh pertumbuhan jumlah jualan yang baik dalam segmen barangan sejuk (10 peratus) dan UHT (15 peratus).

Ia berikutan jualan perkhidmatan makanan dan industri hotel (HORECA) lebih tinggi dan kekangan kapasiti semakin mereda.

Margin untung kasar separuh pertama tahun kewangan 2024 adalah 3.1 peratus lebih rendah akibat tekanan kos input dan penurunan operasi di Australia suku pertama 2023.

Pendapatan suku kedua tahun kewangan 2024 meningkat tujug peratus berbanding suku terdahulu disebabkan oleh jualan susu lebih tinggi di sekolah dan penyatuan dengan jualan Inside Scoop.

Sementara itu, Wei Siang berkata, margin untung kasar suku kedua 2024 melantun dengan tinggi sebanyak 8.6 peratus kepada 26.3 peratus, tahap tertinggi dalam satu setengah tahun, mencerminkan kos input yang mereda dan margin untung kasar lebih tinggi daripada Inside Scoop.

"Kami menjangkakan penjimatan lebih banyak daripada kos input yang mereda akan datang untuk memacu lagi pemulihan margin untung kasar dan mendorong momentum perolehan positif suku ke suku," katanya.

Berita Harian X