Selasa, 28 November 2023 | 3:43pm
MAHB mencatatkan 6.8 juta pergerakan penumpang operasi tempatan pada Oktober 2023 -NSTP/Mohd Fadli Hamzah
MAHB mencatatkan 6.8 juta pergerakan penumpang operasi tempatan pada Oktober 2023 -NSTP/Mohd Fadli Hamzah

MAHB rekod 98.9 juta pergerakan penumpang tahun ini

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan 98.9 juta pergerakan penumpang setakat tahun ini, atau 84.7 peratus daripada tahap sebelum pandemik 2019.

MAHB dalam satu kenyataan berkata, operasi tempatan merekodkan 6.8 juta pergerakan penumpang, atau 67 peratus daripada 10.2 juta pergerakan penumpang kumpulan itu pada Oktober 2023, dengan kedua-dua sektor domestik dan antarabangsa, masing-masing mencatatkan 3.4 juta pergerakan penumpang.

Sementara itu, katanya sektor antarabangsa menyaksikan pertumbuhan 3.6 peratus berbanding September 2023 disebabkan peningkatan 3.3 peratus dalam kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan yang ditawarkan, disokong oleh perkhidmatan baharu dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Zhangjiajie, China oleh Batik Air Malaysia; Kertajati, Indonesia oleh Malaysia Airlines; dan Padang, Indonesia oleh Super Air Jet.

"Pergerakan penumpang domestik Oktober mencapai 80.3 peratus daripada paras 2019 seramai 3.4 juta penumpang, dengan purata faktor muatan 81.5 peratus, kedua tertinggi setakat ini, selepas Ogos 2023 yang mencatatkan 82.2 peratus," katanya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Turkiye, yang dimiliki oleh MAHB, mengendalikan 3.3 juta pergerakan penumpang, atau baki 33 peratus daripada keseluruhan 10.2 juta pergerakan penumpangnya.

MAHB berkata, lapangan terbang ini merekodkan pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing 1.7 juta dan 1.6 juta, menjadikan jumlahnya kepada 3.3 juta, 4.7 peratus melepasi paras 2019.

"Memandangkan tahun semakin hampir berakhir, prestasi operasi kumpulan dari segi pergerakan trafik udara pada Oktober 2023 menandakan satu lagi trajektori yang menjanjikan untuk pemulihan berterusan industri penerbangan," katanya.

Sementara itu, MAHB berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mengalu-alukan ketibaan dua syarikat penerbangan global pada Oktober

Ia berkata, Qatar Airways telah menyambung semula laluan Doha-Phuket-Pulau Pinang dengan penerbangan harian manakala Thai Airways International memulakan kemunculan pertamanya dengan perkhidmatan harian ke Bangkok.

"Penambahan ini adalah bukti kepada pemulihan pelancongan pengembaraan di rantau ini," kata pengendali lapangan terbang itu.

Berita Harian X