Isnin, 27 November 2023 | 9:04pm
Tan Chong Motor Holdings Bhd
Tan Chong Motor Holdings Bhd

Tan Chong alami kerugian bersih RM50.7 juta

KUALA LUMPUR: Tan Chong Motor Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih RM50.7 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023, berbanding keuntungan bersih RM6.88 juta dalam tempoh sama tahun lalu di tengah-tengan sentimen pasaran yang lemah dipacu oleh tekanan inflasi dan persaingan lebih sengit dalam pasaran luar negara serta tempatan.

Pendapatan merosot 10.97 peratus kepada RM649.82 juta daripada RM729.87 juta disebabkan sumbangan lebih rendah daripada segmen automotif, demikian menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mengikut perbanding suku sebelumnya, kerugian bersih kumpulan melebar berbanding RM18.13 juta yang dicatatkan pada suku kedua 2023, walaupun pendapatan meningkat daripada RM619.19 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2023, kumpulan merekodkan kerugian bersih lebih besar RM73.9 juta berbanding RM6.4 juta sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Ia terutamanya disebabkan oleh jualan lebih rendah, margin lebin kecil berpunca ringgit lebih lemah dan keuntungan tukaran asing lebih rendah daripada transaksi serta baki tertunggak dalam denominasi mata wang asing.

Pendapatan Tan Chong dalam tempoh sembilan bulan merosot 18.18 peratus kepada RM1.89 bilion daripada RM2.31 bilion.

Tan Chong berkata, di sebalik cabaran dan persaingan yang lebih sengit, sasaran kumpulan untuk membina perniagaan mampan terus menjadi keutamaan.

Berita Harian X