Jumaat, 24 November 2023 | 2:40pm
Pelanggan Unifi meningkat sebanyak 205,000 pada suku ketiga 2023 - Gambar hiasan
Pelanggan Unifi meningkat sebanyak 205,000 pada suku ketiga 2023 - Gambar hiasan

Tawaran menarik lonjak pengguna jalur lebar tetap TM

KUALA LUMPUR: Pelanggan jalur lebar tetap Telekom Malaysia Bhd (TM) meningkat tujuh peratus kepada 3.1 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023.

AmInvestment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, peningkatan itu didorong oleh kempen konvergen dipertingkatkan dan tawaran gabungan kandungan, mudah alih, suara dan jalur lebar.

Katanya, pelanggan Unifi meningkat sebanyak 205,000 pada suku tahunan itu berbanding suku sama tahun sebelumnya, namun pelanggan Streamyx merosot 69,000, apabila TM memindahkan pelanggan perkhidmatan itu kepada Unifi.

"Purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) Unifi pada suku ketiga 2023 meningkat RM1 sebulan kepada RM131 sebulan, dipacu oleh pengambilan yang lebih baik dalam pakej bernilai tinggi.

"ARPU Streamyx melonjak sebanyak 12 peratus dari suku ke suku tahunan kepada RM119 sebulan berbanding RM106 sebulan, disokong permintaan lebih tinggi daripada perusahaan untuk perkhidmatan pendigitalan," katanya dalam satu nota penyelidikan.

AmInvestment Bank berkata, keuntungan bersih teras (CNP) TM bagi sembilan bulan tahun kewangan 2023 sebanyak RM1.6 bilion mengatasi jangkaan, iaitu melebihi 121 peratus unjuran tahun penuh bank pelaburan itu.

Ia berkata, prestasi itu juga 109 peratus mengatasi unjuran konsensus terutamanya berikutan caj cukai yang positif berbanding kerugian cukai yang tidak digunakan pada tahun-tahun sebelumnya selepas penyusunan semula dalaman organisasi kumpulan.

Justeru, bank pelaburan itu menaikkan unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2023 sebanyak 35 peratus dengan mengambil kira kredit cukai daripada penggunaan kerugian yang tidak diiktiraf sementara mengekalkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2024 hingga tahun kewangan 2025 sementara menunggu penjelasan lanjut daripada pengurusan ke atas baki kerugian yang tidak digunakan.

TM mencatatkan peningkatan 102.9 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM538.19 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023, berbanding RM265.2 juta yang dicatatkan pada suku yang sama 2022 berikutan kesan cukai yang rendah dan pengurangan kos kewangan bersih.

Pendapatan bagaimanapun berkurangan kepada RM3.08 bilion berbanding RM3.16 bilion sebelum itu.

Bagi tempoh sembilan bulan 2023, keuntungan bersih kumpulan melonjak kepada RM1.44 bilion berbanding RM983.11 juta tahun lalu, manakala pendapatan turun sedikit kepada RM9.13 bilion berbanding RM9.14 bilion sebelumnya.

Prestasi kukuh dalam dua barisan perniagaan, iaitu Unifi dan TM Global memainkan peranan penting dalam pertumbuhan kumpulan telekomunikasi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, dalam satu kenyataan berkata, komitmen kumpulan untuk memajukan perkhidmatan penumpuan quad-play (gabungan perkhidmatan akses Internet jalur lebar, televisyen dan telefon dengan pembekalan perkhidmatan tanpa wayar), ditambah dengan pengenalan pakej yang menarik dan kompetitif, membolehkannya mengekalkan dan mengembangkan pangkalan pelanggan, mengukuhkan portfolionya.

"Usaha berterusan untuk meningkatkan liputan mudah alih di seluruh negara sejajar dengan dedikasi kami terhadap keterangkuman, merapatkan jurang digital dan memupuk penerimaan digital yang meluas.

"Serentak dengan itu, pengembangan agresif data dan infrastruktur rangkaian bersedia memenuhi permintaan pasaran domestik kami yang semakin meningkat dan menarik lebih ramai pemain antarabangsa," katanya.

Berita Harian X