Jumaat, 24 November 2023 | 11:57am
Genting Bhd
Genting Bhd

Genting catat untung besar RM520.52 juta

KUALA LUMPUR: Genting Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM520.52 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 daripada RM128.02 juta pada suku sama tahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata pendapatannya meningkat kepada RM7.37 bilion daripada RM6.12 bilion disumbangkan terutamanya oleh bahagian riadah dan hospitaliti di dalam dan luar negara.

Katanya, Resorts World Sentosa (RWS) terus dirangsang oleh pemulihan kembara dan pelancongan yang berterusan, manakala Resorts World Genting (RWG) merekodkan pendapatan yang lebih tinggi terutamanya disebabkan oleh volum perniagaan yang lebih tinggi.

"Sebaliknya, pendapatan daripada bahagian perladangan lebih rendah pada suku dikaji disebabkan oleh volum jualan yang lebih rendah pada pengeluaran hiliran, sebahagiannya diimbangi oleh ladang kelapa sawit, yang mencatatkan pendapatan lebih tinggi berikutan pengeluaran buah tandan segar (FFB) lebih kukuh.

"Segmen pengeluaran hiliran mencatatkan kerugian, manakala bahagian minyak dan gas mencatatkan hasil yang lebih rendah terutamanya disebabkan oleh harga minyak mentah global yang lebih lemah," katanya.

Menurut Genting, bagi tempoh sembilan bulan, kumpulan itu kembali untung dengan keuntungan bersih RM779.10 juta berbanding kerugian bersih RM131.19 juta didokong oleh pendapatan lebih kukuh sebanyak RM19.85 bilion.

Melangkah ke hadapan, ia berkata prospek positif bagi pelancongan antarabangsa dijangka kekal, walaupun kebimbangan makroekonomi boleh terus menjadi faktor kritikal dalam pemulihan berkesan sektor kembara dan pelancongan.

"Bagi Malaysia, Genting Malaysia Bhd (GENM) akan terus mengukuhkan daya tahan perniagaan di tengah-tengah persekitaran operasi yang semakin mencabar, memanfaatkan trajektori pertumbuhan jangka panjang dalam perjalanan dari rantau yang lebih luas.

"Di pasaran luar negara, GENM akan terus meneroka peluang untuk mengukuhkan kedudukan kompetitifnya," katanya.

Ia menambah, prospek Genting Plantations Bhd (GENP) untuk baki bulan 2023 akan menjejaki prestasi segmen perladangan utamanya, yang seterusnya bergantung terutamanya pada pergerakan harga produk sawit dan pengeluaran BTS.

"GENP menjangkakan harga minyak sawit akan berada di bawah tekanan memandangkan inventori yang semakin meningkat di Malaysia dan negara pengimport utama.

"Segmen hartanah akan terus menawarkan produk yang memenuhi segmen pasaran yang lebih luas, dengan mengambil kira sentimen pasaran semasa, manakala segmen pengeluaran hiliran terus menghadapi persaingan sengit untuk produk sawit ditapisnya berikutan struktur cukai eksport Indonesia.

"Sebaliknya, segmen biodiesel berasaskan sawit akan terus memenuhi terutamanya mandat biodiesel Malaysia kerana eksport biodiesel kekal mencabar," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X