Khamis, 23 November 2023 | 10:59pm
Telekom Malaysia Bhd (TM)
Telekom Malaysia Bhd (TM)

Untung bersih suku ketiga TM melonjak lebih 100 peratus

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan peningkatan 102.9 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM538.19 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023, daripada RM265.2 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu, disebabkan kesan cukai yang rendah dan pengurangan kos kewangan bersih.

Hasil berkurangan kepada RM3.08 bilion berbanding RM3.16 bilion sebelum itu, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul 2023, keuntungan bersih kumpulan melonjak kepada RM1.44 bilion daripada RM983.11 juta tahun lalu, manakala hasil turun sedikit kepada RM9.13 bilion berbanding RM9.14 bilion sebelumnya.

Dalam satu kenyataan kepada bursa itu, TM berkata prestasi kukuh dalam dua barisan perniagaannya, Unifi dan TM Global memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ini.

"Langganan jalur lebar tetap Unifi meningkat 4.6 peratus, mencecah 3.12 juta, manakala hasil TM Global meningkat disebabkan permintaan yang meningkat untuk kedua-dua perkhidmatan data domestik dan antarabangsa," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, berkata komitmen kumpulan untuk memajukan perkhidmatan penumpuan quad-play (gabungan perkhidmatan akses Internet jalur lebar, televisyen dan telefon dengan pembekalan perkhidmatan tanpa wayar), ditambah dengan pengenalan pakej yang menarik dan kompetitif, membolehkannya mengekalkan dan mengembangkan pangkalan pelanggan, mengukuhkan portfolionya.

"Usaha berterusan kami untuk meningkatkan liputan mudah alih di seluruh negara sejajar dengan dedikasi kami terhadap keterangkuman, merapatkan jurang digital dan memupuk penerimaan digital yang meluas.

"Serentak dengan itu, pengembangan agresif data dan infrastruktur rangkaian bersedia memenuhi permintaan pasaran domestik kami yang semakin meningkat dan menarik lebih ramai pemain antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, ini merupakan langkah yang penting dalam meletakkan Malaysia sebagai hab digital di rantau ini, sekali gus dapat menyumbang secara signifikan kepada penciptaan ekonomi digital yang terhubung secara global.

Menurut Amar Huzaimi, TM menyokong Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang dilancarkan baru-baru ini dan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang teknologi sambil memacu inovasi untuk negara dan sektor ekonomi utama.

"Ringkasnya, inisiatif ini menggariskan matlamat kami untuk memupuk pendigitalan dan teknologi pesat membangun.

"Pendekatan komprehensif kami mencerminkan kedudukan TM sebagai pelopor dalam landskap yang sentiasa berkembang, dengan fokus yang jelas untuk memacu perubahan positif dan membentuk masa depan ketersambungan digital," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X