Khamis, 23 November 2023 | 10:49pm
Proton X90 telah berjaya menarik jualan lebih 4,000 unit sejak dilancarkan pada Mei 2023 - Gambar fail NSTP
Proton X90 telah berjaya menarik jualan lebih 4,000 unit sejak dilancarkan pada Mei 2023 - Gambar fail NSTP

Jualan PROTON bantu DRB-Hicom terus rekod keuntungan

KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM70.8 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 daripada RM143.95 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil turut merosot kepada RM4 bilion berbanding RM4.54 bilion sebelumnya, terutamanya daripada sektor automotif, aeroangkasa dan pertahanan, serta perniagaan pos, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Bagi tempoh sembilan bulan kumulatif berakhir 30 September 2023, keuntungan bersih DRB-Hicom susut kepada RM212.42 juta daripada RM287.77 juta, manakala hasil meningkat kepada RM12.08 bilion berbanding RM11.16 bilion dalam tempoh yang sama setahun lalu.

Ia berkata, prestasi kumpulan pada sembilan bulan 2023 didorong oleh sektor automotif, yang mencatatkan peningkatan 9.4 peratus dalam hasil berbanding tempoh yang sama tahun lalu, terutamanya daripada PROTON serta syarikat-syarikat pengedaran automotif DRB-Hicom, dan syarikat pembuatan serta kejuruteraan.

PROTON meneruskan peningkatan dalam jualannya sebanyak 14.1 peratus atau 116,832 unit pada sembilan bulan 2023.

Proton Saga kekal sebagai model terlaris dengan 51,484 unit telah dihantar, diikuti oleh kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 dan Persona, dengan prestasi jualan kumulatif sebanyak 43,574 unit.

Kenderaan tenaga baharu pertama Proton, SUV Proton X90 telah berjaya menarik jualan lebih 4,000 unit sejak dilancarkan pada Mei 2023.

Bagaimanapun, sektor aeroangkasa dan pertahanan mencatatkan hasil yang lebih rendah terutamanya disebabkan oleh penghantaran produk pertahanan yang lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh penghantaran yang lebih tinggi bagi pesawat satu lorong dan komponen-komponen pesawat.

Sektor perbankan mencatatkan hasil yang lebih tinggi terutamanya disebabkan oleh pendapatan pembiayaan yang lebih tinggi diterajui oleh pertumbuhan dalam jumlah pembiayaan hasil daripada pertumbuhan yang mampan dan pangkalan pelanggan yang berkembang serta kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.00 peratus dalam tempoh semasa.

Sektor perkhidmatan juga mencatatkan hasil yang lebih tinggi terutamanya daripada perniagaan katering dalam penerbangan dengan penyediaan jumlah makanan yang lebih banyak, serta hasil yang lebih tinggi daripada logistik automotif dan perniagaan marin.

Mengenai prospek, DRB-Hicom berkata kumpulan itu kekal teguh dalam melaksanakan strateginya untuk memacu perniagaan terus ke hadapan.

Dalam sektor automotif, PROTON akan menembusi pasaran untuk kenderaan elektrik tempatan dengan menampilkan teknologi canggih dalam barisan produknya pada tahun-tahun akan datang.

Sektor-sektor perniagaan kumpulan yang lain, iaitu perbankan, aeroangkasa dan pertahanan, perkhidmatan dan hartanah akan kekal tertumpu kepada memelihara nilai dan mempergiatkan usaha kemampanan.

Sektor pos masih meneruskan perjalanan transformasinya, menekankan usaha pendigitalan untuk menyelaraskan operasi pos, menambah baik pengalaman pelanggan dan membangunkan potensi-potensi perniagaan baharu.

"Usaha-usaha yang dilakukan ini bertujuan mengukuhkan daya tahan dalam bertindak balas kepada keadaan pasaran yang mencabar. Kumpulan menjangkakan prestasi yang memuaskan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X