Khamis, 23 November 2023 | 7:05pm
S P Setia Bhd
S P Setia Bhd

S P Setia catat untung bersih suku ketiga RM51.8 juta

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, S P Setia Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM51.8 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023.

Pendapatannya bagi suku dikaji meningkat 25 peratus kepada RM1.08 bilion daripada RM860.9 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini, kumpulan merekodkan jualan RM3.89 bilion untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2023, dengan projek tempatan menyumbang RM3.37 bilion atau kira-kira 87 peratus daripada jumlah jualan.

"Manakala, baki RM523 juta atau kira-kira 13 peratus, dijana daripada jualan antarabangsa.

"Wilayah tengah menyumbang 54 peratus daripada jualan tempatan, diikuti oleh wilayah selatan dengan sumbangan jualan sebanyak 40 peratus. Kumpulan menghabiskan inventori yang telah siap, dengan RM804 juta dijual dalam tempoh ini.

"Sehingga 30 September 2023, kumpulan memperoleh jumlah tempahan sebanyak RM450 juta," katanya.

S P Setia berkata, pada suku dikaji, kumpulan melancarkan pelbagai projek, termasuk hartanah bertanah RM498.7 juta di wilayah tengah dan selatan selain unit runcit dan pejabat komersial dua tingkat di Hab Perniagaan Pusat Bandar Setia Fontaines, Pulau Pinang.

Katanya, kadar pengambilan bagi pembangunan baharu ini adalah menggalakkan, dengan kadar penghunian sebanyak 97 peratus disaksikan dalam fasa baharu unit kediaman bertanah di Bandar Kinrara dan kira-kira 60 peratus unit dijual di perbandaran seperti Setia Bayuemas dan Setia Fontaines.

"S P Setia turut berkembang di peringkat antarabangsa dengan memperoleh tapak tanah utama di St Leonards, Sydney, Australia.

"Dengan keluasan tanah 1,374 meter persegi, pengambilalihan itu menandakan usaha pertama syarikat itu ke New South Wales.

"Ia bertujuan untuk mewujudkan kehadiran yang menonjol dalam pasaran hartanah Sydney yang sangat dicari. Langkah strategik ini mengukuhkan komitmen S P Setia terhadap pertumbuhan serantau dan menyumbang kepada pendapatan produk masa hadapan kumpulan," katanya.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai, berkata beliau berpuas hati dengan prestasi suku ketiga berkenaan.

"Kami gembira dengan prestasi jualan yang teguh dan kemajuan kami dalam mengembangkan kehadiran di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"Ini berlaku kerana keupayaan kami untuk menjangka perubahan pasaran, kesetiaan jenama yang berterusan dalam kalangan pelanggan, dan komitmen kami terhadap kualiti dalam projek.

"Kami kekal optimistik mengenai masa depan pasaran hartanah Malaysia dan akan terus mengejar peluang pertumbuhan di Malaysia serta di luar negara," katanya.

Beliau menambah, pihaknya tetap berwaspada menguruskan struktur modal dan meneruskan inisiatif mengurangkan nisbah hutang secara berkesan, yang akan meningkatkan tahap fleksibiliti kewangan kumpulan dengan ketara serta menyumbang kepada prestasi keseluruhan.

Berita Harian X