Khamis, 23 November 2023 | 2:57pm
Mohamad Haslah (kanan) bersama Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock.
Mohamad Haslah (kanan) bersama Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock.

Matrix Concepts catat keuntungan bersih RM64 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd meningkat 26.6 peratus kepada RM64 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2023.

Prestasi itu dicatatkan ketika kumpulan terus membina momentum positif, dengan isu-isu yang berkaitan kekurangan ketersediaan buruh yang dialami dalam tempoh sama tahun lalu kini telah diselesaikan sepenuhnya.

Pendapatan kumpulan pada suku dikaji turut meningkat sebanyak 61.6 peratus kepada RM359.4 juta berbanding RM222.4 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Pertumbuhan ketara dalam pendapatan didorong oleh prestasi mantap bahagian pembangunan hartanah, yang menyaksikan peningkatan ketara 65 peratus dalam sumbangan pendapatan berjumlah RM350.3 juta.

Sendayan Developments, produk utama Matrix Concepts adalah penting dalam prestasi memberangsangkan bahagian pembangunan hartanahnya, apabila menyumbang RM340.5 juta pendapatan, peningkatan 86 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Perbandaran kumpulan yang lain di Kluang, Johor, iaitu Bandar Seri Impian merekodkan RM8.1 juta, susut 56 peratus dari segi pendapatan, manakala pembangunan Lembah Klang pertama yang dijual sepenuhnya oleh kumpulan, The Chambers menyumbang baki RM1.7 juta kepada unit pembangunan hartanah.

Prestasi unit pembangunan hartanah kumpulan dilengkapkan dengan unit perniagaan lain, iaitu bahagian pendidikan dan hospitaliti, apabila menyumbang RM9.1 juta kepada pendapatan pada suku dikaji.

Sehingga 30 September 2023, jualan belum dibil kumpulan adalah berjumlah RM1.3 bilion, bersedia untuk diiktiraf dalam tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang.

Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin, berkata ketangkasan kumpulan dalam menyesuaikan diri dengan dinamik pasaran dan memanfaatkan permintaan yang teguh untuk penawaran rumah premium mampu milik meletakkan mereka di barisan hadapan sektor pembangunan hartanah.

Beliau berkata, dengan portfolio pelbagai di seluruh unit perniagaan dan kejayaan penerokaan ke dalam projek antarabangsa, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan yang mampan.

"Walaupun menghadapi cabaran yang dialami pada tahun kewangan 2022 dan separuh pertama tahun kewangan 2023, kami tetap yakin dengan prospek, disokong oleh sambutan pasaran yang menggalakkan untuk produk.

"Peningkatan pendapatan yang direkodkan sepanjang lima suku kewangan lalu menekankan daya tahan dan komitmen kami terhadap pendekatan yang mampan terhadap strategi kami.

"Ini memberi dorongan kepada kami untuk lebih optimistik terhadap pengembangan masa depan, termasuk kemajuan ke arah pembangunan perbandaran yang akan datang di Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV2.0) di Negeri Sembilan," katanya.

Berita Harian X