Rabu, 22 November 2023 | 8:40pm
Time dotCom Bhd
Time dotCom Bhd

Keuntungan Time dotCom merosot kepada RM106.6 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Time dotCom Bhd susut 10.2 peratus kepada RM106.6 juta dalam suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2023 daripada RM118.74 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Kumpulan telekomunikasi itu berkata, penyusutan itu adalah susulan daripada keuntungan yang diraih daripada penamatan operasi yang dimasukkan dalam suku ketiga tahun kewangan 2022.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Time dotCom berkata tanpa mengambil kira operasi yang ditamatkan, kumpulan itu bagaimanapun mencatat keuntungan sebelum cukai terkumpul sebanyak RM149.8 juta iaitu menokok RM11.1 juta atau lapan peratus daripada keuntungan disatukan sebelum cukai sebanyak RM138.7 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022.

"Peningkatan keuntungan sebelum cukai bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 terutamanya disebabkan oleh pendapatan faedah lebih tinggi sebanyak RM8.7 juta serta peningkatan bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu dan usaha sama sebanyak RM2.4 juta," katanya.

Selain itu, perolehan hasilnya meningkat kepada RM411.07 juta daripada RM360.65 juta sebelum ini, dipacu oleh hasil bukan berulang sebanyak RM4.1 juta daripada segmen pengkomputeran awan dan perkhidmatan lain pada suku di bawah kajian.

Keuntungan bersih kumpulan bagi tempoh sembilan bulan pula melonjak kepada RM2.48 bilion daripada RM327.67 juta bagi tempoh sama tahun lalu susulan pertambahan hasil yang mencecah RM1.17 bilion berbanding RM1.06 bilion, sebelum ini.

Kumpulan itu menyifatkan perolehan hasil berkenaan didorong oleh permintaan bagi data membabitkan pelanggan segmen runcit dan perusahaan.

Sementara itu, dalam kenyataan media berasingan, Time dotCom berkata prestasi kumpulan bagi separuh pertama 2023 dipengaruhi terutamanya oleh perkongsian strategik Pusat Data AIMS yang ditutup pada 30 April 2023.

"Hasil daripada perkongsian strategik itu membolehkan Time dotCom berada dalam kedudukan baik untuk mempercepat pelan pengembangan rangkaian liputannya serta produk yang bersesuaian," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Time dotCom, Afzal Abdul Rahim, berkata kumpulan itu juga telah meneruskan trajektori pengembangan perniagaan secara pantas dan seiring dengan usaha inovasi tawaran kepada pelanggan serta pasaran.

Bagi kemajuan masa depan, kumpulan berkenaan kekal optimis berupaya mengekalkan prestasi semasa bagi tempoh berbaki 2023.

"Usaha pengembangan liputan selain meningkatkan kecemerlangan operasi akan terus menjadi keutamaan menyampaikan ganjaran serta pengalaman menarik untuk pelanggannya merentasi semua segmen.

"Langkah memperkemas strategi berkaitan pelanggan segmen teras peruncitan, perusahaan dan borong yang selaras dengan pertumbuhan, adalah usaha berterusan kumpulan untuk memenuhi permintaan selain merebut peluang yang ada," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X