Rabu, 22 November 2023 | 8:08pm
Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK)
Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK)

Harga sawit rendah jejas keuntungan bersih KLK

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM834.25 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023 berbanding RM2.16 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Kumpulan perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perolehan merosot kepada RM23.64 bilion berbanding RM27.14 bilion bagi tahun kewangan 2022.

Bagi suku keempat berakhir 30 September 2023, keuntungan bersih KLK susut kepada RM116.30 juta daripada RM462.13 juta pada suku sama tahun lalu.

Perolehan untuk suku keempat tahun kewangan 2023 berkurangan kepada RM5.77 bilion berbanding RM6.97 bilion sebelum ini.

Menurut KLK, keuntungan sebelum cukai sektor perladangan pada suku keempat turun 18.7 peratus kepada RM417.5 juta berbanding RM513.6 juta pada tahun lalu, terutamanya berikutan volum jualan minyak sawit mentah (MSM) yang rendah dan penyusutan purata harga jualan MSM dan isirung sawit.

Kumpulan itu kekal komited untuk menambah baik kecekapan operasi ladang bagi meningkatkan produktiviti walaupun mengalami kesan buruk daripada fenomena El Nino, katanya.

KLK berkata, peningkatan kecil hasil bagi tahun kewangan 2023 membuktikan dedikasi kumpulan ini.

Menurut kumpulan, bagi tahun kewangan 2023, pihaknya berjaya menangani isu kekurangan pekerja yang menghasilkan keperluan untuk melatih pekerja baharu dan tiada pengalaman.

Turut diberikan perhatian adalah memulihkan semula keadaan pertanian serta kecekapan pemulihan dan kualiti tanaman.

"Kumpulan turut menumpukan untuk mengekalkan piawaian penanaman semula yang tinggi untuk hasil lebih baik pada masa akan datang.

"Secara keseluruhannya, kumpulan ini optimis namun berhati-hati terhadap keputusan kewangan tahun kewangan 2024 walaupun dalam persekitaran kadar faedah tinggi serta serta konflik geopolitik yang boleh menjejaskan ekonomi global," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X