Isnin, 6 November 2023 | 6:26pm
Kinergy Advancement Bhd (KAB)
Kinergy Advancement Bhd (KAB)

KAB dapat kontrak Petronas Gas bernilai RM33.3 juta

KUALA LUMPUR: Unit Kinergy Advancement Bhd (KAB), KAB Energy Holdings Sdn Bhd menerima surat anugerah (LOA) daripada Pengerang LNG (Two) Sdn Bhd untuk kerja-kerja berkaitan minyak dan gas bernilai RM33.3 juta.

Kerja itu membabitkan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk bekalan utiliti bagi unit penyimpanan terapung (FSU) Tango baharu di Terminal Pengegasan Semula, Pengerang, Johor.

Pengerang LNG (Two) Sdn Bhd adalah anak syarikat Petronas Gas Bhd (PGB).

KAB berkata projek itu dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan, memupuk pembangunan inovatif dan mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam penyelesaian tenaga lestari (SES).

"Projek ini dijangka menyumbang kepada visi KAB untuk segmen SES bagi menjana masa depan yang mampan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

LOA berkenaan dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material terhadap pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, bagaimanapun ia menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan, katanya.

Sementara itu, KAB dalam satu kenyataan berasingan berkata projek itu dijangka siap pada akhir tahun 2024.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn, berkata anugerah itu memperkukuhkan kelayakan dan perjalanan syarikat daripada penyedia penyelesaian mekanikal dan elektrik awal kepada penyedia penyelesaian tenaga dan kejuruteraan sehenti secara holistik.

-BERNAMA

Berita Harian X