KUALA LUMPUR: Sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal sebanyak RM133.3 bilion pada Ogos 2023, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam kenyataan Sorotan Bulanan Ogos 2023 hari ini, bank pusat berkata sistem perbankan Malaysia terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan menyokong pertumbuhan pengantaraan kredit dalam ekonomi.
BNM berkata, daya tahan sistem perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang mantap dengan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan sebahagian besarnya kekal tidak berubah, masing-masing pada 1.8 peratus dan 1.1 peratus.
"Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal pada tahap berhemat sebanyak 115.0 peratus daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.6 peratus daripada jumlah pinjaman," katanya.
Menurut bank pusat, pada Ogos, pasaran kewangan global terjejas oleh kebimbangan yang berterusan berhubung dengan kelembapan ekonomi China.
"People's Bank of China telah mengumumkan satu kitaran pelonggaran dasar monetari yang tidak dijangka. Sementara itu, Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell menegaskan semula di Simposium Jackson Hole bahawa keadaan monetari AS perlu terus ketat untuk tempoh yang lebih lama.
"Kesannya, ringgit menurun nilai berbanding dolar AS sebanyak 2.1 peratus, manakala FBM KLCI menyusut sebanyak 0.5 peratus. Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun kekal tidak berubah pada Ogos," katanya.
BNM berkata, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 3.8 peratus pada akhir Ogos berbanding 3.8 peratus pada Julai 2023, disokong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi.
"Bagi perniagaan, walaupun bon korporat terkumpul meningkat pada kadar yang lebih perlahan 4.4 peratus (Julai 2023: 5.2 peratus), pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 0.7 peratus.
"Hal ini mencerminkan terutamanya peningkatan dalam segmen bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk pinjaman modal kerja dan pelaburan," katanya.
BNM berkata, yang ketara, pertumbuhan pinjaman terkumpul kepada PKS sebahagian besarnya terus menggalakkan pada 6.2 peratus pada Ogos berbanding 6.7 peratus pada bulan sebelumnya.
"Pertumbuhan pinjaman terkumpul bagi isi rumah mampan pada 5.3 peratus, disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi merentas kebanyakan tujuan pinjaman. Pertumbuhan pinjaman isi rumah terus didorong oleh pinjaman untuk pembelian rumah dan kereta, dengan masing-masing meningkat sebanyak 7.3 peratus dan 8.7 peratus," katanya.
-BERNAMA