Selasa, 29 Ogos 2023 | 4:52pm
Alliance Bank Malaysia Bhd
Alliance Bank Malaysia Bhd

Alliance Bank catat untung bersih RM150.54 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Alliance Bank Malaysia Bhd susut kepada RM150.54 juta pada suku pertama kewangan berakhir 30 Jun 2023 (suku pertama tahun kewangan 2024) daripada RM212.16 juta dalam persekitaran penurunan keuntungan dalam semua segmen yang terdiri daripada perbankan pengguna, perbankan perniagaan dan pasaran kewangan.

Hasil merosot kepada RM466.26 juta berbanding RM474.07 juta, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen perbankan pengguna berkurangan RM55.5 juta kepada RM15.9 juta, manakala bahagian perbankan perniagaan terdiri daripada perbankan korporat, komersial dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencatatkan PBT sebanyak RM124.4 juta, penurunan sebanyak RM14 juta tahun ke tahun.

PBT perniagaan pasaran kewangan menguncup RM20 juta kepada RM58.3 juta dan perbankan Islam yang terdiri daripada perbankan pengguna, perbankan perniagaan dan pasaran kewangan mencatatkan keuntungan bersih RM29.2 juta, RM16.3 lebih rendah tahun ke tahun.

Alliance Bank berkata, pendapatan faedah bersih meningkat sebanyak RM9.3 juta atau 2.4 peratus tahun ke tahun disebabkan pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Margin faedah bersih berada pada 2.43 peratus dengan tekanan dijangka terus kekal disebabkan penetapan semula harga deposit dan persaingan.

Pinjaman, pendahuluan dan pembiayaannya meningkat 7.9 peratus tahun ke tahun kepada RM49.8 bilion kebanyakannya didorong oleh perbankan PKS, komersial dan pengguna, masing-masing meningkat sebanyak 13.4 peratus, 11.7 peratus dan 7.1 peratus.

Sementara itu, nisbah akaun semasa/akaun simpanan (CASA) berada pada 43.9 peratus dan pembiayaan berasaskan pelanggan adalah pada RM53.7 bilion.

Bank itu mahu meluaskan tumpuannya dan berkembang ke bidang baharu melangkaui perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah pelan strategik ACCELER8 untuk mempercepatkan pertumbuhannya dan memberi lebih perhatian kepada perbankan pengguna, pengurusan kekayaan dan perbankan Islam.

"Kumpulan itu juga akan terus membina perkongsian strategik untuk meluaskan penawaran dan pengedaran produknya, mencipta lebih banyak nilai untuk pelanggannya dan mengembangkan kehadiran perniagaannya di negeri-negeri yang berkembang pesat dan bandar-bandar sekunder untuk merebut peluang pertumbuhan koridor ekonomi.

"Dengan pertumbuhan pinjaman berhemat melebihi purata industri, pengurusan risiko kredit yang kukuh, peruntukan kerugian pinjaman terkawal, mengukuhkan cadangan deposit/CASA dan pengurusan kos, kumpulan itu menyasarkan untuk menempatkan kedudukannya mencapai kuartil teratas dalam industri untuk pulangan terhadap ekuiti," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X