KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan prestasi kewangan yang lebih kukuh pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 apabila keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) melonjak 50.4 peratus kepada RM568.7 juta.
Perolehan PATAMI lebih tinggi berbanding RM378 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu dipacu hasil operasi konglomerat telekomunikasi yang menokok 0.3 peratus kepada RM3.1 bilion pada suku dikaji.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Amar Huzaimi Md Deris, berkata prestasi kewangan kukuh yang dicatatkan TM pada suku kedua tahun ini didorong oleh peluasan Unifi yang menyaksikan peningkatan ketara kepada 3.11 juta pelanggan jalur lebar tetap.
Beliau berkata, lonjakan PATAMI pada suku dikaji juga dicatatkan berikutan kos pembiayaan bersih (net finance cost) yang lebih rendah dan pengenalpastian kredit cukai daripada kerugian cukai yang tidak digunakan.
Katanya, gembira dengan prestasi bagi suku ini, yang menunjukkan keputusan keseluruhan yang positif merentasi Unit Perniagaan (LOB) kami. Pencapaian ini mengukuhkan lagi momentum pertumbuhan TM bagi mendepani pasaran yang lebih kompetitif.
"Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, TM menjangka akan berdepan pasaran yang lebih mencabar tetapi kekal yakin dengan prestasi kewangan keseluruhan yang positif. Kumpulan komited untuk terus memperkukuh perniagaan terasnya agar menjadi lestari secara komersial sambil terus menyumbang kepada pertumbuhan negara.
"TM teruja dengan potensi besar penyepaduan perkhidmatan tetap, mudah alih dan gaya hidup dalam pasaran digital, serta infrastruktur dan penyelesaian digital untuk sektor PMKS, perusahaan dan kerajaan, sambil berusaha merebut peluang-peluang daripada rakan-rakan antarabangsa termasuk syarikat-syarikat berskala hiper (hyperscalers).
"Kami juga kekal komited untuk terus melabur dalam perluasan rangkaian bagi memacu kemajuan negara ke arah Digital Malaysia. TM akan terus bekerjasama erat dengan pihak Kerajaan bagi memberi khidmat sebagai rakan usaha sama yang diyakini untuk meluaskan keseluruhan ekosistem kesalinghubungan dan digital, termasuklah 5G," katanya pada taklimat prestasi kewangan suku kedua TM di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM, Razidan Ghazalli.
Bagi tempoh separuh pertama 2023, TM mencatatkan lonjakan dalam PATAMI kepada RM898.83 juta berbanding RM717.9 juta yang diraih pada tempoh sama tahun lalu.
Hasil turut melonjak kepada RM6.05 bilion pada enam bulan pertama 2023 daripada RM5.98 bilion yang dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2022.
Peruntukan Perbelanjaan Modal (capex) TM bagi separuh tahun pertama 2023 direkodkan kepada RM942.8 juta, iaitu 15.6 peratus daripada hasil keseluruhan untuk tujuan peluasan infrastruktur rangkaian bagi meningkatkan liputan di seluruh negara.
Sementara itu, perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) adalah 10.3 peratus lebih rendah pada RM630 juta daripada RM702.7 juta, berikutan kos penyelenggaraan pencegahan (preventive maintenance) yang lebih tinggi bagi memberi khidmat lebih baik kepada para pelanggan serta susut nilai yang lebih tinggi susulan semakan semula jangka hayat aset.
TM mengumumkan Dividen Interim lebih tinggi iaitu 9.5 sen sesaham. Ini membuktikan prestasi kewangan Kumpulan yang positif dan komitmen berterusannya terhadap nilai pemegang saham.
Sementara itu bagi unit perniagaan TM, hasil Unifi menokok 0.5 peratus kepada RM1.41 bilion, dipacu oleh pertumbuhan jumlah pelanggan jalur lebar tetap mencecah 3.11 juta daripada segmen pengguna dan perusahaan mikro kecil & sederhana (PMKS).
Cabang perkhidmatan gaya hidup Unifi, Unifi TV meneruskan usahanya memperkaya pengalaman pengguna dengan menggabungkan aplikasi penstriman popular seperti Netflix ke dalam portfolio penawarannya, sekali gus meningkatkan penawaran nilai Unifi TV dan menambah kepelbagaian kandungan untuk dinikmati oleh pengguna.
Bagaimanapun, TM One mengalami penurunan hasil sebanyak 11.4 peratus kepada RM732.0 juta pada 2Q 2023 berikutan pengurangan harga perkhidmatan kesalinghubungan dan hasil sekali (one-off revenue) yang lebih rendah daripada projek pelanggan.