SUBANG JAYA: CelcomDigi Bhd meraih prestasi mantap dalam tempoh enam bulan pertama 2023 selepas penggabungannya pada akhir 2022, didorong oleh pelan dan strategi yang lebih fokus.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi dalam taklimat keputusan baru-baru ini, berkata kumpulan itu merekodkan pertumbuhan hasil perkhidmatan 0.3 peratus sebanyak RM5.41 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2023 dengan penambahan pelanggan yang kukuh sebanyak lebih 391,000 hingga 20.48 juta dipacu oleh saranan nilai.
Selaras dengan panduan syarikat 2023, ia berada di landasan yang betul untuk terus berkembang.
Syarikat telekomunikasi itu berpandukan kepada momentum pertumbuhan hasil perkhidmatan, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pertumbuhan daripada rata kepada kenaikan satu digit yang rendah serta pengurangan antara 15 serta 18 peratus daripada pendapatan sebagai perbelanjaan modal bagi meningkatkan integrasi rangkaian.
EBITDA serta keuntungan selepas cukai yang dinormalisasi, tidak termasuk kesan susut nilai dipercepatkan (barangan bukan tunai), masing-masing mantap pada 1.8 peratus dan 6.5 peratus kepada RM2.99 bilion serta RM1.04 bilion, mengukuhkan komitmen syarikat untuk memberikan margin EBITDA yang diterajui industri sebanyak 47.5 peratus dan margin keuntungan selepas cukai yang dinormalisasi berjumlah 16.6 peratus.
"Setakat ini, hasil kami berada di landasan yang betul. Kami mempunyai momentum pertumbuhan. EBITDA kami berada pada pertumbuhan satu digit yang rendah pada separuh pertama (tahun ini) serta meningkatkan integrasi rangkaian pada suku ketiga dan keempat.
"Kami juga telah menanamkan disiplin kecemerlangan operasi, terutamanya mengenai pengurusan kos. Dengan mengekalkan disiplin seperti itu, dan (cara) kami memperuntukkan modal, seharusnya syarikat akan dapat mengekalkan prestasi," katanya.
Idham menjelaskan syarikat itu berjaya menyelesaikan 60 peratus integrasi dan pemodenan rangkaian pada 2023, dengan lebih daripada 2,000 tapak dalam 24 kluster disatukan setakat ini.
Beliau berkata, matlamat syarikat adalah untuk menyediakan rangkaian 4G terluas dengan peningkatan liputan penduduk kepada 98 peratus berbanding 96 peratus di seluruh negara dengan teknologi sedia ada 4G LTE dan 5G terkini bagi menyampaikan kualiti termasuk pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan.
"Kami kekal komited untuk menerajui penggunaan 5G serta telah melaksanakan inisiatif seperti siri meja bulat CEO CelcomDigi MY5G bagi membantu perniagaan merealisasikan potensi sebenar 5G.
"Kami juga berharap dapat membuka lebih banyak nilai termasuk faedah 5G kepada pengguna dan perniagaan dalam beberapa bulan akan datang," katanya.
Sementara itu, bagi memudahkan rakyat Malaysia mengakses 5G, pihaknya ada menawarkan pelbagai tawaran telefon baharu 5G di Karnival Jom 5G CelcomDigi bermula Jumaat lalu hingga hari ini.
Ia menawarkan pelan ansuran serendah RM26 sebulan, diskaun sehingga 75 peratus bagi aksesori terkini, hadiah percuma, penjimatan dan tawaran nilai lain, kata syarikat itu.
-BERNAMA