Jumaat, 18 Ogos 2023 | 3:37pm
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi -NSTP/Aizuddin Saad
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi -NSTP/Aizuddin Saad

CelcomDigi catat untung suku kedua RM343.52 juta

KUALA LUMPUR: CelcomDigi Bhd merekodkan keuntungan bersih RM343.52 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023, melonjak 56.11 peratus daripada RM220.04 juta setahun lalu.

Keuntungan bersih yang lebih tinggi itu diperoleh apabila pendapatan meningkat dua kali ganda kepada RM3.12 bilion daripada RM1.54 bilion, demikian menurut CelcomDigi dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Syarikat telekomunikasi itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 3.2 sen sesaham, berjumlah RM375 juta, dengan tarikh kelayakan pada 5 September dan tarikh pembayaran 29 September.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi, berkata pihaknya giat meneruskan inisiatif penyepaduan rangkaian dan pemodenan kumpulan itu.

"Pelanggan kekal sebagai tumpuan utama. Dengan menyelaraskan operasi dan proses di bahagian belakang secara cekap, kami dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik, menyampaikan lebih banyak nilai dan produk tertumpu kepada pelanggan, meningkatkan perkhidmatan dan memodenkan titik sentuh dan saluran runcit.

"Inisiatif integrasi dan pemodenan rangkaian semakin maju dalam kelajuan penuh kerana kami terus menyediakan pengalaman rangkaian yang lebih tinggi kepada pelanggan kami pada rangkaian 4G terpantas, terluas dan paling moden di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, CelcomDigi kekal komited untuk menerajui penggunaan 5G di negara ini dan telah melaksanakan inisiatif seperti siri meja bulat CEO CelcomDigi MY5G untuk membantu perniagaan merealisasikan potensi sebenar daripada 5G bersama-sama.

"Kami berharap dapat membuka lebih banyak nilai dan faedah 5G untuk pengguna dan perniagaan dalam beberapa bulan akan datang," katanya.

Bagi prestasi untuk enam bulan pertama, keuntungan bersih terkumpul CelcomDigi ialah RM661.44 juta berbanding RM456.19 juta sebelum ini manakala pendapatan RM6.3 bilion berbanding RM3.06 bilion.

Syarikat telekomunikasi itu berkata, ia meningkatkan aktiviti penyepaduan pada suku yang ditinjau, dan pelaburan berterusan dalam peningkatan kapasiti rangkaian dan inisiatif IT untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.

"Syarikat melabur RM252 juta dalam perbelanjaan modal atau 8.1 peratus daripada jumlah pendapatan pada suku kedua 2023, memenuhi keperluan peningkatan kapasiti rangkaian dan inisiatif penyepaduan.

"Memandangkan projek-projek utama dimulakan pada Jun 2023 dan seterusnya, syarikat menjangkakan perbelanjaan modal akan meningkat untuk baki dua suku tahun tahun kewangan 2023," katanya.

Berita Harian X