KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mewujudkan Laluan Lorong Hijau yang membolehkan pengendali pusat data di Malaysia mendapatkan bekalan elektrik tiga kali lebih pantas daripada biasa.
Melalui inisiatif berkenaan, bekalan elektrik akan disingkatkan tempoh pelaksanaannya daripada 36 hingga 48 bulan kepada hanya 12 bulan.
TNB juga menawarkan bantuan penyelenggaraan 24 jam dan pelbagai bentuk penyelesaian mengikut keperluan setiap pusat data.
Kesemua faktor berkenaan dijangka menarik lebih banyak syarikat pusat data untuk mewujudkan operasi di negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abd Aziz, berkata kepentingan pusat data sebagai nadi kepada dunia digital, tulang belakang yang mendukung kelancaran sistem kesalinghubungan, memudahkan penyimpanan, pemperosesan dan penghataran maklumat dalam kapasiti besar yang mendayakan gaya hidup moden.
Beliau berkata, Malaysia sudahpun membangunkan reputasi kukuh dalam sektor ini di pasaran Asia Tenggara susulan kedudukan geo-strategik negara serta landskap pelaburan yang kondusif dan menarik.
"Pasaran pusat data di Malaysia dijangka meningkat sebanyak AS$2.08 bilion (RM9.53 bilion) dari tahun 2021 hingga 2026 dengan momentum pertumbuhan pasaran dijana pada kadar purata pertumbuhan tahunan (CAGR) 15.72 peratus.
"Laluan Lorong Hijau TNB ini menyokong matlamat ini dan keperluan Pusat Data, yang kewujudannya di Malaysia akan membantu merealisasikan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 untuk menarik pelaburan berkualiti teknologi tinggi.
"Ini sekali gus menyediakan lebih banyak peluang pertumbuhan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pekerjaan dengan upah lebih baik kepada rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Inisiatif berkenaan dilancarkan oleh Tengku Zafrul dalam sesi perkongsian bersama komuniti pusat data Malaysia, semalam.
Pada majlis itu, TNB memeterai lima kerjasama strategik melalui Perjanjian Bekalan Elektrik (ESA) dengan empat syarikat iaitu Yellowwood Properties Sdn Bhd (Yondr), AirTrunk Malaysia Sdn Bhd (AirTrunk), SIPP Power Sdn Bhd (SIPP) dan GDS IDC Malaysia Sdn Bhd (GDS) di samping satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MRANTI Corporation Sdn Bhd.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, berkata TNB benar-benar komited untuk menjadi pembekal tenaga berdaya harap kepada semua projek pusat data selari dengan aspirasi negara membawa industri pusat data ke Malaysia dan menjadi hab pusat data serantau.
Katanya, antara perkhidmatan yang disediakan TNB adalah perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) untuk memenuhi setiap keperluan pusat data ini.
"Kami juga sentiasa mencari ruang dan peluang memperluas kerjasama dengan lebih banyak pengendali pusat data melalui penyelesaian tenaga pintar, direka khas oleh anak syarikat milik penuh TNB yang pakar dalam teknologi hijau bagi memenuhi keperluan pelanggan.
"Antaranya, GSPARX menyediakan penyelesaian bumbung solar, Allo Technology mengkhususkan perkhidmatan penyambungan gentian jalur lebar, TNB Engineering Corporation untuk sistem penyejukan kawasan dan TNB Renewables dalam teknologi hijau.
"Kerjasama antara TNB dan pengendali pusat data membawa banyak faedah kepada pelbagai pihak. Penubuhan pusat data ini juga mencipta banyak peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia dan menjana ekonomi industri kecil dan sederhana di kawasan sekitarnya," katanya.