Selasa, 20 Jun 2023 | 12:01pm
Bank Islam Malaysia Bhd
Bank Islam Malaysia Bhd

Bank Islam laksana lima langkah atasi penipuan

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) mengumumkan pelaksanaan lima langkah utama memerangi penipuan kewangan menerusi pelbagai platform transaksi perbankan dalam talian dan mudah alih menerusi tiga peningkatan keselamatan baharu yang diperkenalkan hari ini.

Pelaksanaan langkah keselamatan itu dibuat lebih awal daripada tarikh akhir 30 Jun 2023 yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) agar semua institusi kewangan mengambil tindakan untuk menangani peningkatan insiden penipuan berkaitan pembayaran yang berlaku di peringkat global dan domestik.

Pelanggan kini boleh melindungi sendiri dana yang dimiliki daripada penipuan dalam talian dan menyahaktifkan sementara akses ke akaun Perbankan Internet Bank Islam (IB), aplikasi perbankan GO by Bank Islam (GO) dan GO Biz by Bank Islam (GO Biz) mereka melalui ciri baharu 'Kill Switch'.

Elemen keselamatan baharu itu juga menyekat dengan segera semua transaksi keluar kad debit-i Bank Islam pelanggan.

Ciri 'Kill Switch' tersedia pada kedua-dua aplikasi perbankan mudah alih dan IB, boleh diakses dengan mengklik butang 'Kill Switch' yang terletak pada halaman utama perbankan Internet Bank Islam.

Manakala bagi pelanggan aplikasi mudah alih, mereka akan dibawa ke halaman utama Kill Switch menerusi laman pelayar peranti mereka sebaik sahaja butang 'Kill Switch' diklik pada aplikasi GO atau GO Biz.

Bank Islam juga akan melaksanakan 'Tempoh Bertenang' iaitu tempoh menunggu selama 12 jam untuk sebarang permohonan atau permintaan baharu yang dibuat pada IB, GO dan GO Biz.

Ciri keselamatan tambahan itu juga disediakan bagi pendaftaran kali pertama IB, GO and GO Biz, pendaftaran semula akaun dan permintaan kata laluan terlupa, perubahan dalam had transaksi, pemautan akaun dan pengaktifan untuk pembelian dalam talian menggunakan Kad Debit-i Bank Islam.

Ciri ini akan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja pelanggan membuat permintaan baharu pada tetapan platform perbankan dalam talian atau mudah alih mereka.

Objektif utama kemudahan ini adalah untuk melindungi akaun pelanggan daripada individu yang cuba melakukan transaksi tanpa kebenaran.

Tempoh bertenang ini memberikan masa tambahan kepada pelanggan untuk bertindak balas dengan sewajarnya apabila mereka menerima pemberitahuan segera atau e-mel mengenai pengubahsuaian yang dibuat pada akaun mereka.

Bank Islam juga telah bertukar sepenuhnya kepada sistem pengesahan berasaskan aplikasi, GO Secure, untuk meluluskan transaksi yang dimulakan pada IB dan GO.

Urus niaga termasuk pemindahan dana dan pembayaran, perubahan maklumat peribadi dan tetapan akaun.

Sistem keselamatan yang lebih mantap, dilaksanakan pada 2020, menggantikan perkhidmatan Kod Akses-i (IAC) yang dihantar melalui SMS ke telefon mudah alih berdaftar pelanggan.

Sebelum ini, Bank Islam telah melaksanakan langkah keselamatan 'pengikat-peranti' sejak GO diperkenalkan pada 2019.

Pengikat-peranti adalah proses pendaftaran satu peranti sebagai peranti yang dipercayai pelanggan untuk urusan perbankan.

Setelah mendaftar, pelanggan dibenarkan mengakses GO atau GO Biz daripada peranti berkenaan.

Bank Islam tidak membenarkan perkhidmatan perbankan mudah alih pada alat 'rooted' atau 'jailbroken'.

Pelanggan mesti mendaftarkan peranti melalui akaun IB mereka selepas memuat turun GO atau GO Biz.

Berita Harian X