Selasa, 6 Jun 2023 | 5:17pm
Pertumbuhan pinjaman sistem kewangan yang stabil mengukuhkan prestasi kewangan bank-bank tempatan - Foto hiasan
Pertumbuhan pinjaman sistem kewangan yang stabil mengukuhkan prestasi kewangan bank-bank tempatan - Foto hiasan

Bank-bank Malaysia catat prestasi kewangan luar biasa

KUALA LUMPUR: Keputusan kewangan bank di Malaysia pada suku pertama 2023 amat memberangsangkan dengan prestasi tujuh daripada lapan bank tempatan yang disenaraikan di Bursa Malaysia mencapai unjuran, demikian menurut Kenanga Research.

Penganalisisnya, Clement Chua, berkata satu-satunya bank yang tidak menepati jangkaan adalah Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) yang dipercayai berpunca daripada tekanan kos masa hadapan menerusi pelan pendigitalan bank berkenaan.

Beliau berkata, prestasi bank-bank lain berada dalam jangkaan dengan kebanyakannya mencatatkan penyederhanaan margin faedah bersih (NIM), malah bank-bank bersaiz besar mencatatkan bacaan yang mantap bagi tempoh suku tahunan itu.

Katanya, kebanyakan bank menyaksikan penyederhanaan NIM dari suku ke suku, walaupun beberapa bank seperti Alliance Bank Malaysia Bhd (ABMB) dan Public Bank Bhd mencatatkan kenaikan tahunan, dipertahankan oleh campuran produk dan harga yang lebih baik.

Menurutnya, di tengah-tengah kitaran menaik Kadar Dasar Semalaman (OPR), paras akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) menipis apabila pendeposit mencari alternatif dengan hasil yang lebih tinggi.

"Kebanyakan aliran seluruh industri dilihat sudah dijangka sebahagian besarnya, iaitu pemampatan NIM daripada persaingan ketat deposit; kos kredit yang lebih rendah secara berturutan dan peningkatan pendapatan daripada pelupusan cukai kemakmuran.

"Faktor ini berkemungkinan berterusan untuk baki tahun semasa 2023, dengan NIM berkemungkinan reda daripada sebarang kenaikan kepada OPR," katanya dalam satu penyelidikan.

Penguasaan pasaran domestik yang dominan dalam kalangan bank senaraian awam tempatan terus meningkat, dengan kini mencecah 76.8 peratus setakat suku pertama 2023.

Dalam kalangan tiga bank terbesar tempatan, hanya Maybank meningkatkan penguasannya dalam pasaran sektor perbankan di Malaysia daripada 17.8 peratus kepada 17.9 peratus, manakala CIMB Group Holdings Bhd dan Public Bank masing-masing mengekalkan penguasaan pasaran pada 12.5 peratus dan 17.5 peratus.

RHB Bank Bhd pula dilihat mengalami sedikit penurunan penguasaan pasaran kepada 8.9 peratus berbanding 8.8 peratus sebelumnya, di sebalik pertumbuhan memberangsangkan sebanyak enam peratus mengatasi pesaing lain.

Sementara itu, RHB Research berkata, pertumbuhan pinjaman sistem masih stabil dengan mencatat peningkatan 4.5 peratus tahun ke tahun, tetapi mendatar bulan ke bulan apabila perayaan Aidilfitri memperlihatkan kenaikan pinjaman isi rumah, diimbangi oleh penurunan dalam segmen bukan isi rumah.

Ia berkata, meskipun terdapat tekanan pada pendapatan kasar akibat margin dan pertumbuhan pinjaman yang menyederhana, pihaknya percaya bank-bank mempunyai faktor penggalak yang mencukupi bagi menyokong pertumbuhan perolehan dan dividen.

Katanya, sistem perbankan masih cair dan mempunyai paras modal yang baik dengan nisbah pinjaman berbanding deposit (LDR) sebanyak 85.3 peratus dan nisbah ekuiti biasa tahap 1 (CET-1) 14.8 peratus.

"Pada Mac, pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkat sebanyak 2.3 peratus kerana kebanyakan pertumbuhan dipacu oleh segmen borong dan runcit dan pembiayaan," katanya.

RHB Research berkata, pinjaman terjejas kasar (GIL) sistem menokok 2.2 peratus bulan ke bulan dan meningkat 8.3 peratus tahun ke tahun, dengan kebanyakannya daripada sektor isi rumah, sementara GIL bagi sektor bukan isi rumah kekal stabil.

Ia berkata, peruntukan pencegahan awal masih berada pada kadar baik, dengan perlindungan kerugian pinjaman (LLC) pada 94 peratus berbanding purata prapandemik sebanyak kurang 80 peratus, dan hal itu patut menjadi penampan bagi menangani kebarangkalian kualiti aset yang lemah dalam jangka dekat.

Berita Harian X