KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama ZTE Malaysia Corporation Sdn Bhd (ZTE), peneraju global dalam penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi.
Kerjasama dalam pelbagai inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) ini adalah untuk memanfaatkan kepakaran TM dan ZTE bagi memacu inovasi dan transformasi digital kepada pelanggan dan industri.
Ia adalah untuk memberi tumpuan kepada peluang dan pengkomersialan R&D, penambahbaikan produk dan teknologi, serta peningkatan ekosistem bakat digital TM.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Imri Mokhtar berkata, TM penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan menerajui usaha ini dengan menyediakan ujian perkakasan dan penambahbaikan reka bentuk, konsultasi mengenai teknologi platform digital, serta penyelesaian bersepadu untuk memastikan tawaran sedia digunakan di pasaran.
"MOU ini ditandatangani susulan penyelidikan bersama akses teknologi terbaru untuk meningkatkan sambungan internet berkelajuan tinggi di Malaysia.
"Dengan memperkenalkan lebar jalur 50Gbps yang pertama di Malaysia, kami menyediakan perkhidmatan inovatif lain seperti 5G, Cloud VR, dan pembuatan pintar yang akan memberi manfaat kepada komuniti, perniagaan dan Kerajaan," katanya di sidang media memorandum persefahaman MoU dan ZTE hari ini.
Imri berkata, TM sedang giat mengusahakan untuk membawa masuk bandar terkemuka dan penyedia digital dengan menyediakan platform yang akan membolehkan mereka melakukan penciptaan bersama.
"Kami akan menguji untuk mengatasi perkhidmatan untuk dibawa ke pasaran melalui pelbagai cabang perniagaan yang telah disatukan oleh TM.
"Perkhidmatan ini juga diberikan kepada pelanggan rumah dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berkhidmat untuk perusahaan dan sektor awam, kerajaan serta sebagai pemborong kepada syarikat telekomunikasi lain di Malaysia," katanya.
Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
MOU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Imri Mokhtar dan Pengarah Urusan ZTE Malaysia Corporation Sdn Bhd, Steven Ge hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan ZTE Malaysia Corporation Sdn Bhd, Steven Ge berkata, ZTE yakin bahawa kerjasama ini akan menghasilkan inovasi dan penyelesaian baharu untuk menangani keperluan yang semakin meningkat dalam pasaran digital hari ini.
"ZTE juga komited untuk menyokong transformasi digital dan pertumbuhan ekosistem bakat TM melalui kepakaran dan sumber global kami.
"Kami percaya kerjasama ini akan mewujudkan situasi yang adil untuk kedua-dua pihak dan menetapkan penanda aras baharu kerjasama strategik dalam industri," katanya.