KUALA LUMPUR: Gaji dan kos elektrik yang lebih tinggi menjejaskan keuntungan Farm Fresh Bhd bagi tahun kewangan 2023, demikian menurut RHB Investment Bank.
Penganalisis, Soong Wei Siang, berkata hasil syarikat tenusu itu bagi tahun kewangan 2023 melonjak 26 peratus kepada RM630 juta, dipacu oleh kenaikan bahagian pasaran yang menggalakkan, pelancaran produk baharu dan sumbangan menerusi projek susu sekolah.
Namun begitu, beliau berkata untung kasar Farm Fresh pada tahun dikaji hanya mencatat pertumbuhan 10 peratus apabila margin untung kasar merosot 3.4 mata peratusan kepada 23.8 peratus berikutan kos bahan mentah lebih tinggi dan kadar pertukaran asing merugikan.
"Selepas merekodkan perolehan yang menghampakan, kami percaya keadaan terburuk mungkin sudah pun berlalu untuk Farm Fresh.
"Kumpulan ini meningkatkan harga jualan untuk produk beku mulai dari Julai, lantas merapatkan jurang yang ada dengan pesaingnya yang sudah menaikkan harga jualan mereka dengan lebih agresif.
"Tambahan lagi, harga susu Farmgate dijangka menurun pada musim akan datang bermula Julai, dan hal ini akan memulihkan marginnya dengan ketara, bergantung pada kuantum," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Keuntungan bersih teras direkodkan oleh Farm Fresh dalam tahun kewangan 2023 susut 17 peratus kepada RM57 juta, hanya mencapai 83 hingga 84 peratus daripada ramalan RHB Investment Bank dan konsensus.
Prestasi negatif itu dikaitkan dengan margin untung kasar (GPM) lebih rendah daripada jangkaan yang dikekang oleh kos pengeluaran yang tinggi.
Sementara itu, Wei Siang berkata kenaikan kapasiti dalam loji sedia ada dan loji baharu syarikat itu di Taiping akan membantunya meredakan kekangan pengeluaran dan dapat memenuhi permintaan pasaran, sekali gus menjadi satu lagi pemacu perolehan utama pada tahun kewangan 2024.
"Kami menjangkakan keuntungan bersih akan berkembang 58 peratus dalam tempoh setahun. Risiko negatif terhadap saranan kami termasuklah kenaikan mendadak dalam kos input dan penangguhan lama untuk pengembangan," katanya.
RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Farm Fresh dengan harga sasaran baharu RM1.72 berbanding RM1.75 sebelumnya.
Wei Siang berkata, keputusan kewangan 2023 yang dicatatkan Farm Fresh kelihatan lebih rendah daripada yang dianggarkan kerana faktor tekanan kos pengeluaran yang besar.
"Kami melihat penurunan tekanan kos berperingkat, langkah pelepasan kos dan kapasiti baharu yang beroperasi nanti akan menjadi faktor-faktor utama yang memacukan pemulihan perolehan syarikat ini
pada tahun kewangan 2024.
"Kami terus menyukai Farm Fresh kerana nilai jenamanya yang utuh dan peningkatan bahagian pasaran yang kukuh, diperteguhkan oleh penawaran produk berkualiti dan juga pelan pengembangan yang besar untuk memudahkan lagi penembusan pasaran pada tahap lebih tinggi," katanya.