KUALA LUMPUR: Terbitan awam Edelteq Holdings Bhd sebanyak 26.63 juta saham di bawah pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) yang membabitkan 100 juta saham baharu telah terlebih langgan sebanyak 152.03 kali.
Dalam satu kenyataan hari ini, Edelteq, yang merupakan penyedia sokongan kejuruteraan kepada industri cip, berkata 35,292 permohonan untuk 4.08 bilion saham terbitan diterima daripada orang awam, mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 152.03 kali.
"Bagi bahagian Bumiputera, 18,649 permohonan untuk 1.48 bilion saham diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 110.41 kali.
"Sementara itu, 16,643 permohonan untuk 2.59 bilion saham diterima di bawah bahagian awam Malaysia yang lain, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 193.65 kali," katanya.
IPO itu juga membabitkan terbitan 63.37 juta saham baharu melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih; 10 juta saham baharu tersedia untuk pekerja dan orang yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan; dan tawaran untuk penjualan 43.2 juta saham sedia ada yang disediakan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd, sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan, telah mengesahkan bahawa 63.37 juta saham terbitan dan 43.20 juta saham sedia ada yang tersedia untuk permohonan melalui penempatan persendirian telah diserahkan sepenuhnya kepada pelabur terpilih.
Notis peruntukan akan dihantar melalui pos kepada semua pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 6 Jun 2023.
-BERNAMA