Selasa, 30 Mei 2023 | 3:30pm
Alliance Bank Malaysia Bhd
Alliance Bank Malaysia Bhd

Alliance Bank catat untung lebih besar RM677.85 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Alliance Bank Malaysia Bhd meningkat 18.3 peratus kepada RM677.85 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023, berbanding RM572.82 juta pada tahun kewangan 2022.

Keuntungan tinggi itu disumbang terutamanya daripada pendapatan faedah tinggi dan elaun rendah bagi jangkaan kerugian kredit, kata bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil dalam tahun fiskal itu juga meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada RM1.92 bilion daripada RM1.87 bilion sebelum ini disokong oleh volum pinjaman tinggi dan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Alliance Bank dalam satu kenyataan berasingan berkata, pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan pengguna meningkat masing-masing kepada 13.1 peratus dan 5.2 peratus, menyumbang kepada momentum pertumbuhan pinjaman yang tinggi pada 6.2 peratus tahun ke tahun.

Pembiayaan berasaskan pelanggan naik 6.8 peratus tahun ke tahun dengan deposit tetap meningkat 18.6 peratus tahun ke tahun.

Perbelanjaan operasi meningkat sebanyak RM58.4 juta atau 7.1 peratus tahun ke tahun terutamanya daripada pelaburan berterusan dalam tenaga jualan, kos pemasaran dan kos perniagaan.

"Kumpulan akan terus berhemat dalam menguruskan kos pada tahun kewangan akan datang," katanya.

Bagi suku keempat tahun Kewangan 2023, Alliance Bank merekodkan keuntungan bersih RM130.17 juta daripada RM103.04 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya manakala hasil naik sedikit kepada RM468.61 juta berbanding RM451.54 juta sebelumnya.

Mengenai prospek masa depan, bank itu berkata strategi Acceler8 yang dilancarkan awal tahun ini telah meluaskan visinya untuk menjadi bank bagi komuniti, menyediakan nilai kepada pemegang kepentingan menerusi prestasi kewangan kukuh, perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan kemajuan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Kumpulan menyasarkan segmen pasaran dan perniagaan baharu, memacu pengembangan dalam koridor ekonomi utama serta memacu sinergi dan penciptaan nilai menerusi kerjasama strategik untuk menyokong pelanggan," katanya.

Alliance Bank mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 10 sen sesaham menjadikan jumlah dividen kepada 22 sen sesaham bagi 50 peratus nisbah pembayaran dividen yang akan dibayar pada 28 Jun 2023.

-BERNAMA

Berita Harian X