Selasa, 30 Mei 2023 | 2:34pm
Mohd Muazzam Mohamed -NSTP/Azrul Edham
Mohd Muazzam Mohamed -NSTP/Azrul Edham

Bank Islam catat keuntungan, pendapatan lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM118.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023, meningkat 11.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2022.

Pendapatannya pada suku itu meningkat 42.6 peratus kepada RM1.10 bilion berbanding RM774.0 juta sebelum ini.

Pengukuhan pendapatan bersih kumpulan disumbangkan oleh peningkatan pendapatan bukan berasaskan dana yang mengukuh RM60.0 juta atau 132.4 peratus dipacu pendapatan pelaburan serta laba bersih lebih tinggi daripada transaksi pertukaran asing.

Prestasi lebih baik itu diterjemah kepada perolehan sesaham bernilai 5.33 sen dan pulangan ekuiti bersih tahunan sebanyak 7.0 peratus.

Pembiayaan kasar naik 10.7 peratus tahun ke tahun kepada RM66.2 bilion, sementara akaun deposit dan pelaburan pelanggan berada pada RM77.8 bilion dengan kenaikan sebanyak RM9.7 bilion atau 14.3 peratus.

Sebahagian besar kenaikan itu disumbangkan oleh pertumbuhan tahun ke tahun lebih baik sebanyak 25.9 peratus atau RM6.8 bilion dalam jumlah akaun semasa, simpanan dan pelaburan (CASATIA) untuk berada pada RM33.0 bilion.

Nisbah modal kumpulan pula kekal teguh pada 21.2 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata setakat akhir Mac 2023, jumlah aset Bank Islam berada pada RM92.1 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 14.4 peratus, dipacu pertumbuhan dalam pembiayaan dan sekuriti pelaburan.

"Kedudukan modal dan kecairan yang sihat juga mencerminkan bahawa momentum pertumbuhan dan asas kami kekal teguh," katanya dalam satu kenyataan.

Setakat 31 Mac 2023, nisbah pembiayaan terjejas kasar adalah 1.37 peratus dan angka itu kekal lebih baik berbanding purata industri sebanyak 1.75 peratus.

Mengenai tinjauan ekonomi, Bank Islam berkata, secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia berada pada permulaan yang kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2023.

Ia berkata, peningkatan itu lebih baik berbanding negara jiran serantau seperti Indonesia, China, Vietnam dan Singapura, seterusnya menggambarkan bahawa sasaran prestasi negara di antara empat dan lima peratus bagi 2023 adalah munasabah.

Katanya, pertumbuhan ekonomi itu disokong oleh perbelanjaan domestik yang berdaya tahan, perbelanjaan swasta yang teguh dan pengukuhan persekitaran pasaran buruh.

"Keadaan itu memberikan petanda baik bagi prospek kumpulan yang sebahagian besar perniagaan adalah dalam segmen perbankan runcit," katanya.

Bank Islam berkata, walaupun petunjuk ekonomi semasa mempamerkan keadaan yang optimistik, namun demikian, separuh kedua 2023 akan kekal mencabar kerana ekonomi masih terdedah pada risiko perkembangan luaran seperti prospek pertumbuhan global lebih perlahan.

Katanya, sungguhpun pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku-suku akan datang dijangka lebih rendah, namun dipercayai beberapa risiko terbalik akan mampu menangani cabaran pertumbuhan separuh kedua 2023.

"Ini termasuk limpahan kesan daripada pembukaan semula ekonomi China, keadaan pasaran buruh yang lebih baik dan penerusan projek-projek mega," katanya.

Berita Harian X