KUALA LUMPUR: Maxis Bhd merekodkan keuntungan bersih RM320 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023, meningkat 7.4 peratus berbanding suku sama tahun lalu.
Hasil perkhidmatan meningkat empat peratus tahun ke tahun kepada RM2.1 bilion dan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) meningkat 3.4 peratus kepada RM541 juta, walaupun dalam persekitaran operasi yang mencabar.
Susulan prestasi itu, Maxis mengisytiharkan dividen interim sebanyak empat sen bersih sesaham untuk suku pertama.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng, berkata pihaknya gembira dengan permulaan tahun ini yang kukuh.
"Di samping menguatkan kedudukan sebagai pemain bersepadu, kami akan menumpukan pada pertumbuhan yang mampan dan boleh dijangka serta pelaksanaan menyeluruh yang kukuh untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Seow Eng berkata, didorong oleh pelaksanaan strategi telekomunikasi bersepadu yang kukuh, syarikat menghasilkan pertumbuhan dalam perkhidmatan teras sambungan mudah alih dan talian tetap merentas perniagaan pengguna dan perusahaan, di samping peningkatan margin keuntungan berikutan kos operasi yang lebih rendah.
Katanya, memandangkan rakyat Malaysia semakin bergantung pada kesalinghubungan yang sentiasa aktif dan pengalaman digital yang lancar di rumah, atau di tempat kerja dan semasa dalam perjalanan, tawaran mudah alih serta talian tetap Maxis terus menarik pelanggan, menjana pertumbuhan hasil bagi segmen ini.
"Inisiatif untuk mengoptimumkan pengalaman kesalinghubungan kediaman pelanggan menyumbang kepada pertumbuhan dua angka dalam hasil fiber mudah alih.
"Perniagaan perusahaan Maxis terus memberikan pertumbuhan hasil yang stabil, dipertingkatkan lagi dengan penawaran penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
"Dengan perniagaan-perniagaan mengekalkan minat untuk melabur dalam pelbagai tahap transformasi digital, Maxis berhasrat untuk mengembangkan dan menuai potensi penuh portfolio penawaran perusahaannya, dengan memanfaatkan kekuatan kesalinghubungan terasnya, " katanya.
Beliau menambah, memandangkan lebih ramai pengguna dan perniagaan yang berhubung dibawah rangkaiannya, Maxis kekal komited untuk menyediakan pengalaman kesalinghubungan yang terbaik.
"Pada suku pertama, Maxis melabur RM130 juta dalam perbelanjaan modal untuk mengekalkan kualiti rangkaian bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya dan untuk memenuhi permintaan jalur lebar yang semakin meningkat dalam persekitaran yang semakin digital.
"Maxis mengakui faedah ekonomi yang Malaysia bakal nikmati dengan pelaksanaan 5G dan akan memanfaatkan sepenuhnya sumber, kemahiran serta infrastruktur untuk membina rangkaian 5G dengan kualiti dan kebolehpercayaan yang tertinggi.
"Maxis berharap untuk melancarkan produk dan perkhidmatan berkaitan 5G secara komersial untuk pelanggan dalam masa terdekat, dengan tumpuan pada penggunaan dan harga yang berpatutan," katanya.