Selasa, 16 Mei 2023 | 2:40pm
Fahmi (tengah) bergambar bersama Mohd Hafiz (tiga dari kanan) dan Proctor (kiri) selepas MoU antara Cyberview dan Vantage Data Centers di Cyberjaya, hari ini - Foto BERNAMA
Fahmi (tengah) bergambar bersama Mohd Hafiz (tiga dari kanan) dan Proctor (kiri) selepas MoU antara Cyberview dan Vantage Data Centers di Cyberjaya, hari ini - Foto BERNAMA

Vantage umum pelaburan mega RM13.32 bilion di Cyberjaya

CYBERJAYA: Penyedia pusat data berskala besar berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Vantage Data Centers memperuntukkan pelaburan tambahan sebanyak AS$3 bilion (RM13.32 bilion) bagi tempoh 10 tahun akan datang bagi meningkatkan komitmennya di sini.

Pelaburan tambahan itu adalah untuk membina kampus pusat data keduanya, sekali gus mengukuhkan kedudukan bandar itu sebagai teratas lokasi di Malaysia untuk pelabur pusat data.

Buat masa ini, Vantage dalam peringkat akhir untuk memperoleh kawasan seluas 14.16 hektar di sini untuk membangunkan kampus pusat data mega dikenali KUL2, yang merangkumi 10 pusat data dengan kapasiti teknologi maklumat (IT) 256MW membabitkan keseluruhan 2.75 juta kaki persegi apabila siap sepenuhnya.

Ia bakal melengkapkan kampus pertama dengan kemudahan 16MW yang ketika ini sedang dimajukan.

Jika kedua-dua kemudahan itu siap sepenuhnya, pusat data milik Vantage dijangka mampu menyediakan kapasiti IT sebanyak 287 megawatt (MW) bagi memenuhi keperluan berskala besar penyedia awan dan syarikat besar.

Bagi tujuan peruntukan tambahan dan pembinaan kemudahan pusat data kedua, Vantage memeterai perjanjian dengan Cyberview Sdn Bhd, pemaju hab teknologi Cyberjaya, bagi merealisasikan pelaburan berkenaan.

Selain pelaburan Vantage, Cyberview turut memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Leave a Nest Malaysia (LVNS), anak syarikat syarikat usaha sama berpangkalan di Jepun bagi memperkasakan ekosistem inovasi dan teknologi di sini.

Dengan sokongan Cyberview dan 18 peserta tempatan termasuk syarikat multinasional (MNCs) daripada pelbagai sektor dan agensi kerajaan, LVNS menyasarkan untuk menjana RM100 juta dari aspek impak ekonomi menerusi pelbagai program pembangunan.

Antara inisiatif utama Cyberjaya, termasuk Center of Garage Malaysia, pembangunan pengetahuan teknologi yang disasarkan untuk menyokong syarikat pemula niaga di Malaysia dan rantau ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang menyaksikan kedua-dua pemeteraian perjanjian berkata, Knight Frank mengiktiraf Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan pusat data di Asia Tenggara disebabkan lokasi strategik negara, persekitaran politik yang stabil dan infrastruktur digital yang teguh.

Katanya, beberapa pelaburan baharu dijangka memasuki Malaysia khususnya membabitkan ekonomi digital sekali gus menyaksikan sasaran untuk mencapai sumbangan 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 berkemungkinan dapat dicapai lebih awal.

"Dengan Cyberjaya mendahului sebagai pilihan utama untuk pelaburan pusat data di negara ini, industri teknologi Malaysia bersedia untuk masa depan yang cerah. Memandangkan permintaan untuk ketersambungan dan perkhidmatan digital terus meningkat, pusat data akan memainkan peranan yang semakin kritikal dalam memperkasakan ekonomi digital kita.

"Selain infrastruktur yang kukuh, ekosistem inovasi yang berkembang maju akan menjadi pemboleh utama pertumbuhan dalam industri yang berkembang pesat ini," katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian dan sambutan ulang tahun ke-26 Cyberjaya, hari ini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Urusan Cyberview, Dr Mohd Hafiz Ibrahim berkata, perjanjian dengan Vantage menandakan peristiwa penting bagi Cyberjaya dan menetapkan peringkat untuk bandar itu sebagai lokasi yang ideal untuk penyedia pusat data skala mega.

Katanya, pada masa ini, 90 peratus daripada penyedia kolokasi di Malaysia berpangkalan di Cyberjaya, memanfaatkan infrastruktur bertaraf dunia dengan sambungan gentian gelap.

"Selain mempertingkatkan infrastruktur Cyberjaya, kerjasama kami dengan LVNS juga akan memperkukuh budaya inovasi yang kami pupuk di bandar ini.

"Perkongsian ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada komuniti permulaan tetapi juga akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan keseluruhan ekosistem teknologi dan inovasi.

"Berpandukan pelan induk Cyberjaya, kami komited untuk meningkatkan lagi infrastruktur bandar untuk memenuhi permintaan pemain pusat data skala mega yang semakin meningkat dan sektor teknologi yang lebih luas," katanya.

Ketua Pegawai Operasi Vantage bagi perniagaan Asia Pasifik, Giles Proctor, berkata syarikat itu tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan satu lagi pusat data baharu di Malaysia berdasarkan keupayaan negara menawarkan pelbagai kemudahan, selain kedudukan negara yang strategik di rantau ini.

"Pusat data pertama kami atau KUL1 di Cyberjaya membabitkan pembangunan empat bangunan di mana tiga daripadanya sudah beroperasi, manakala satu lagi bangunan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2025.

"Vantage telah mengembangkan jejak di Malaysia sejak kami memasuki pasaran Asia Pasifik yang dinamik. Pengalaman positif kami di Cyberjaya telah mendorong kami untuk mengambil langkah selanjutnya untuk memajukan infrastruktur digital bandar dengan membina kampus skala terbesar kami di rantau ini.

"Dengan peluang menarik di hadapan, Vantage komited untuk memacu inovasi, kemampanan dan pertumbuhan di rantau ini untuk memenuhi permintaan pelanggan global dan tempatan," katanya.

Berita Harian X