KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank muncul bank paling cekap di Malaysia dari segi penjimatan kos dengan nisbah kos kepada pendapatan paling rendah sebanyak 31.5 peratus, berbanding dengan nisbah kos kepada pendapatan purata industri sebanyak 44.2 peratus.
Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek, berkata kumpulan terus mengatasi pesaing perbankan lain pada tahun lalu.
"Dari segi kualiti aset, kumpulan kekal sebagai bank terbaik dalam kalangan semua bank di Malaysia, dengan nisbah pinjaman terjejas kasar terendah sebanyak 0.4 peratus. Ini jauh lebih baik daripada nisbah pinjaman terjejas kasar industri perbankan sebanyak 1.7 peratus.
"Kumpulan terus mengekalkan pulangan ekuiti bersih dua angka sebanyak 12.8 peratus, yang jauh lebih tinggi daripada nisbah pulangan ekuiti bersih purata pesaing perbankan domestik sebanyak 10.8 peratus," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) Public Bank ke-57, hari ini.
Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM8.83 bilion pada 2022, melepasi paras RM8 bilion buat pertama kali.
Keuntungan luar biasa itu mewakili pertumbuhan sebanyak 19.9 peratus berbanding dengan keuntungan
sebelum cukai sebanyak RM7.37 bilion pada tahun 2021.
Keuntungan bersihnya meningkat sebanyak 8.2 peratus kepada RM6.12 bilion, selepas mengambil kira kesan daripada pengenaan satu kali Cukai Makmur.
Berikutan itu, perolehan sesaham Public Bank meningkat kepada 3.15 sen pada tahun lalu.
Pada tahun 2022, pinjaman kasar Kumpulan Public Bank berkembang sebanyak 5.3 peratus kepada RM377 bilion, dengan pinjaman domestik meningkat sebanyak 5.2 peratus.
Kumpulan terus mengekalkan kedudukan nombor satu dalam pembiayaan hartanah kediaman dan hartanah komersial dengan bahagian pasaran masing-masing sebanyak 20.6 peratus dan 33.4 peratus.
Kumpulan juga berjaya mengekalkan bahagian pasaran sebanyak 30.2 peratus dalam pembiayaan sewa beli.
Bagi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kumpulan kekal sebagai peneraju pembiaya dengan bahagian pasaran sebanyak 18.6 peratus.
Dari segi pendanaan, deposit pelanggan Kumpulan Public Bank bertambah sebanyak 3.8 peratus kepada RM395 bilion pada 2022.
Mengenai strategi dan hala tuju Kumpulan Public Bank bagi tahun 2023, Ah Lek berkata persekitaran operasi dijangka kekal mencabar.
Beliau berkata, ekonomi Malaysia diramal mengalami pertumbuhan sederhana, disokong oleh permintaan domestik yang teguh.
Katanya, dinamik perniagaan terus berkembang dalam persekitaran perniagaan pascapandemik dengan
cabaran ekonomi global yang meningkat, manakala cabaran global, termasuk tekanan inflasi yang
tinggi dan polisi kewangan yang diperketatkan, akan terus memberi kesan kepada ekonomi global dan domestik.
"Walaupun kekal berwaspada terhadap pelbagai cabaran, kami akan terus berusaha untuk mencapai keseimbangan dalam mengekalkan pertumbuhan dan pengurusan risiko yang mampan.
"Dalam menghadapi cabaran ini, kami akan terus menjalankan operasi dengan cekap dan mengekalkan pengurusan risiko kredit berhemat. Kami juga akan mengekalkan tadbir urus korporat yang teguh dan amalan pengurusan risiko yang baik.
"Kami berusaha untuk menguruskan apa-apa kemungkinan risiko kualiti aset secara proaktif. Bagi pelanggan yang berhadapan dengan kekangan kewangan, kami akan terus menyediakan bantuan lanjut, termasuk sokongan kewangan yang sewajarnya untuk pelanggan individu dan PKS," katanya.