KUALA LUMPUR: Maxis Bhd telah membuka Maxis Business Innovation Centre (MBIC), ruangan imersif digital untuk menggalakkan inovasi dan memacu transformasi digital untuk perniagaan.
Terletak di tingkat bawah Menara Maxis, MBIC merangkumi ruang lebih 9,000 kaki persegi dan pelanggan boleh mengakses makmal Internet of Things (IoT), auditorium dengan teknologi terkini dan ruang kerja bersama untuk berkolaborasi dan berinovasi.
"Pusat ini akan memberi peluang kepada perniagaan pelbagai saiz dan merentas industri untuk memanfaatkan kuasa teknologi digital," menurut Maxis dalam kenyataan hari ini.
MBIC telah dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
"Kementerian saya telah diberikan tugas untuk memacu ekonomi digital ke hadapan di Malaysia sebagai sebahagian daripada teras strategik kami. Ini memerlukan semua pihak memainkan peranan masing-masing melalui kolaborasi, inovasi dan perkongsian pengetahuan," menurut Fahmi dalam kenyataan sama.
Sementara itu, Ketua Segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Maxis Kevin Lee berkata syarikat telah bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk membantu PKS tempatan mendigitalkan perniagaan mereka.
"Sejak beberapa tahun ini, kami telah membantu lebih 27,000 PKS memulakan perjalanan pendigitalan mereka melalui kerjasama kami dengan kerajaan," katanya kepada media sempena majlis perasmian itu.
Pemangku Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Claire Featherstone berkata Maxis telah menyaksikan peningkatan yang stabil untuk asas pelanggannya sejak beberapa tahun lepas.
"Kami mempunyai 90,000 pelanggan yang berada dalam domain awam pelanggan perniagaan Maxis dan kami menyaksikan jumlah itu terus meningkat suku kepada suku," katanya. – Bernama