Isnin, 8 Mei 2023 | 3:24pm
Rossana Annizah Ahmad Rashid
Rossana Annizah Ahmad Rashid

Rossana Annizah akhiri khidmat sebagai Pengerusi BSN

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) mengumumkan Rossana Annizah Ahmad Rashid tamat tempoh perkhidmatan selama tiga tahun sebagai Pengerusi, berkuat kuasa 31 Januari 2023.

Dalam kenyataan hari ini, bank itu menjelaskan ahli lembaga pengarah BSN, Mohd Sakeri Abdul Kadir kini berperanan sebagai Timbalan Pengerusi.

"BSN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rossana Annizah atas sumbangan, khidmat bakti dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

"Rossana Annizah telah membantu BSN melaksanakan transformasi pendigitalan selain memperkukuh hala tuju BSN untuk terus melaksanakan mandat serta rancangan perniagaan di bawah Pelan Strategik Korporat lima tahun BSN melalui kemahiran serta pengalamannya yang luas dalam mengetuai beberapa syarikat multinasional," tambah bank itu.

Rossana Annizah pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan ketika berkhidmat di RHB Bank Bhd, TIME dotCom Bhd, Maxis Bhd serta Citibank Malaysia.

Berita Harian X