KUALA LUMPUR: Saham Lynas Rare Earths Ltd melonjak selepas kerajaan memberi tempoh lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini.
Saham syarikat pengeluar nadir bumi itu meningkat setinggi 12 peratus dalam dagangan awal di Australian Securities Exchange (ASX) hari ini, dan diniagakan pada A$7.35 sesaham pada jam 10 pagi di Sydney.
Tempoh lanjutan selama enam bulan yang diberikan kepada Lynas itu disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan ringkas pada Ahad.
Beliau berkata, lanjutan masa itu bagaimanapun disertai dengan syarat ketat dan akan sentiasa dipantau.
Sebuah portal sebelum itu melaporkan bahawa Lynas telah diberikan lanjutan masa terbabit susulan rayuan yang dikemukakan oleh syarikat itu berhubung empat syarat dikenakan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).
Rayuan itu dilihat sebagai usaha terakhir untuk memastikan pengeluar nadir bumi itu boleh meneruskan operasi di kilang mereka di Gebeng, Kuantan selepas 1 Julai depan.
Lynas sebelum ini telah berulang kali mempertahankan bahawa kilangnya selamat dan menegaskan bahawa pelaksanaan syarat pelesenan sedemikian akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan di Malaysia.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebelum ini mengadakan tribunal tertutup, untuk mendengar rayuan Lynas terhadap empat syarat yang dikenakan terhadap syarikat itu oleh AELB.
Ia termasuk aktiviti pemecahan dan peresapan (C&L), penjanaan residu 'water leach purification' (WLP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia.
Mengikut Akta Pelesenan Tenaga Atom, menteri MOSTI mempunyai kuasa untuk memutuskan rayuan Lynas.
Februari lalu, Menteri MOSTI, Chang Lih Kang ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya, memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa rayuan Lynas itu dalam proses pertimbangan.
Untuk rekod, Lynas sudah mencapai sisa radioaktif sebanyak 1.08 juta tan dan dijangka mencecah 1.2 juta tan sehingga Julai 2023.