Rabu, 26 April 2023 | 12:31pm
Hujan pada Januari dan Februari tidak menggalakkan ramai orang untuk melawat Resorts World Genting - Foto hiasan
Hujan pada Januari dan Februari tidak menggalakkan ramai orang untuk melawat Resorts World Genting - Foto hiasan

Hujan, tanah runtuh kurangkan pengunjung ke Resorts World Genting

KUALA LUMPUR: Kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya lagi kejadian tanah runtuh dijangka menjejaskan jumlah pengunjung ke Resorts World Genting (RWG) pada suku pertama 2023, demikian menurut penganalisis Maybank IBG Research, Yin Shao Yang.

Beliau berkata, kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada Disember tahun lalu yang meragut 31 nyawa menyebabkan ketibaan pengunjung ke RWG merosot 10 peratus dari suku ke suku tahunan kepada 5.3 juta pada suku keempat 2022.

Katanya, beliau maklum bahawa hujan pada Januari dan Februari 2023 tidak menggalakkan ramai orang untuk melawat RWG terutamanya pada musim kemuncak Tahun Baru Cina berikutan bimbang satu lagi kejadian tanah runtuh.

Justeru, beliau menjangkakan keputusan kewangan suku pertama 2023 Genting Malaysia Bhd mungkin terkesan berikutan jangkaan kemerosotan jumlah pengunjung ke RWG.

"Keuntungan bersih teras suku pertama 2023 (Genting Malaysia) mungkin tidak akan lebih baik dari suku ke suku tahunan (suku keempat 2022: RM121.9 juta).

"Kami menurunkan unjuran ketibaan pelawat RWG bagi tahun kewangan 2023 sebanyak 500,000 kepada 23.7 juta dan menurunkan unjuran keuntungan bersih teras tahun kewangan 2023 sebanyak 16 peratus," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dalam pada itu, Maybank IBG Research melihat pemulihan pantas berlaku dalam dua bulan yang lalu dari segi kedatangan pengunjung.

Shao Yang berkata, difahamkan, ketibaan pengunjung ke RWG lebih pantas dari Mac 2023 dan seterusnya apabila cuaca berubah kering dan kesemua 10,500 bilik kini tersedia, disokong tenaga kerja yang mencukupi untuk penyelenggaraan bilik.

Katanya, ia amat penting kerana mereka yang bermalam menghabiskan lebih banyak masa berbanding mereka yang datang untuk bersiar-siar.

Tambahan pula, beliau menjelaskan bahawa pendapatan kasar perjudian RWG mempunyai perkaitan rapat dengan bilik bermalam yang dijual.

"Kebimbangan yang berterusan mengenai tanah runtuh Batang Kali mungkin menjejaskan keputusan suku pertama 2023.

"Namun, pemulihan dipercepatkan dari Mac 2023 dan seterusnya dengan hampir semua 10,500 bilik di RWG kini tersedia," katanya.

Berita Harian X