KUALA LUMPUR: FUJIFILM Business Innovation berhasrat memantapkan kedudukannya sebagai rakan kongsi perniagaan yang dipercayai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dengan menawarkan penyelesaian pejabat, komunikasi grafik dan teknologi mesra alam yang cekap.
Presiden FUJIFILM Business Innovation Asia Pacific Pte Ltd Mark Tan memberitahu bahawa transformasi digital dan memanfaatkan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) untuk meningkatkan perkhidmatan dokumen yang menggunakan data dan pengetahuan adalah kunci kepada cara baharu buat perniagaan.
"PKS membentuk hampir 97.2 peratus perniagaan di Malaysia dan menyediakan pekerjaan untuk 7.3 juta orang sambil menyumbang kira-kira 38.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
"Justeru, adalah penting bagi PKS atau syarikat mempunyai teknologi yang betul untuk diserapkan ke dalam operasi mereka serta memanfaatkannya pada tahap optimum bagi berhadapan cabaran, seterusnya mencapai matlamat masing-masing dengan cekap dan berkesan," katanya.
Menurut Tan, penyelesaian itu dilengkapi dengan keupayaan untuk menyokong gaya kerja dan pertumbuhan perniagaan PKS dengan membantu mereka untuk terus fokus bagi mencipta peluang serta terjamin dari segi keselamatan dan maklumat.
Beliau berkata teknologi dan produk FUJIFILM Business Innovation mematuhi program pensijilan "Produk Nilai Hijau" yang mengambil kira impak alam sekitar, pemuliharaan sumber dan meminimumkan risiko untuk bahan kimia dan kepelbagaian bio.
Faktor ini dinilai sepanjang kitaran hayat produk untuk memastikan ia memenuhi piawaian yang diperlukan, kata Tan. - Bernama