PUCHONG: The Coffee Bean and Tea Leaf Malaysia Sdn Bhd (Coffee Bean) melakar detik bersejarah dengan pembukaan kafe ke-150 miliknya yang terletak di Sierra Fresco, dekat sini.
Pembukaan kafe baharu itu adalah satu lagi pencapaian dalam tempoh 25 tahun untuk membawa cita rasa asli kepada rakyat Malaysia di seluruh negara.
Pengarah Urusan Coffee Bean, Mohamed Amar Shah, berkata syarikat akan meneruskan komitmennya untuk menyampaikan pengalaman unik dalam setiap cawan atau pada setiap pinggan yang dihidangkan kepada pelanggan.
"Kami meluahkan penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana terus menyokong kami dalam menjadikan Coffee Bean sebagai ruang komuniti.
"Pembukaan kafe terbaharu ini adalah komitmen kami untuk mengeratkan hubungan ini dengan pelanggan kami di negara ini," katanya semasa pelancaran kafe itu, baru-baru ini.
Sementara itu, Coffee Bean dalam satu kenyataan yang berasingan berkata ia telah melihat pertumbuhan eksponen dan pengembangan perniagaannya di Malaysia dengan mengendalikan sebanyak 150 cawangan kafe.
"Walaupun inovasi di dapur kekal sebagai salah satu tumpuan untuk jenama, ia juga merancang untuk meningkatkan kebolehcapaian pelanggan dengan memperluaskan perkhidmatan pandu lalu.
"Melaluinya jenama itu menyasarkan untuk menyediakan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan," katanya.
-BERNAMA