Selasa, 11 April 2023 | 7:15pm
Gambar hiasan. Public Bank. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Gambar hiasan. Public Bank. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Bank tempatan mampu berdepan situasi sukar - S&P Global

KUALA LUMPUR: Bank-bank Malaysia boleh mengharungi keadaan yang lebih sukar tahun ini walaupun dalam situasi kelembapan kadar pertumbuhan negara dan minat pinjaman yang lebih suram, menurut S&P Global Ratings.

Berdasarkan laporan 'Malaysian Banks Outlook 2023: Prepared For Tougher Conditions', agensi penarafan itu menjelaskan kenaikan kadar faedah dan kos pendanaan yang lebih tinggi akan menjejaskan permintaan kredit di Malaysia.

Ia mengklasifikasikan sektor perbankan Malaysia dalam 'Kumpulan 4' di bawah Penilaian Risiko Negara Industri Perbankan (BICRA) dengan aliran risiko ekonomi dan industri diberikan penarafan 'stabil'.

Dalam kenyataan berasingan, Penganalisis Kredit Utama S&P Global, Nikita Anand berkata pertumbuhan kredit boleh menjadi perlahan kepada 4.0 hingga 5.0 peratus, berbanding 6.0 peratus pada 2022.

Agensi penarafan itu menambah ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 3.2 peratus pada 2023, penyusutan yang besar berbanding pemulihan pascapandemik yang kukuh sebanyak 8.7 peratus pada 2022.

"Kelembapan ekonomi global dan kadar faedah lebih tinggi merupakan faktor utama yang mendorong ekonomi lebih perlahan," tambahnya.

Margin faedah bersih bank-bank mungkin berkurangan sebanyak lima hingga 10 mata asas memandangkan kadar deposit berjangka terus meningkat mengikut kadar dasar, menurut S&P Global.

Agensi itu turut berpandangan pulangan aset bagi seluruh sektor boleh kekal mendatar pada 1.4 peratus tahun ini, kerana jangkaan penurunan margin faedah bersih akan diimbangi oleh normalisasi kadar cukai.

Anand berkata keadaan yang lebih teruk adalah negatif untuk kualiti aset.

"Walau bagaimanapun, penyusutan sederhana dijangka boleh urus memandangkan lembaran imbangan korporat dan isi rumah kekal teguh," katanya.

S&P Global menjelaskan keadaan pekerjaan yang stabil dan aset kewangan isi rumah yang mencukupi adalah faktor pengurangan hutang isi rumah yang tinggi.

Agensi itu juga menekankan isi rumah berpendapatan rendah serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan rentan terhadap peningkatan kos.

Walau bagaimanapun, penampan peruntukan bank yang mencukupi dijangka membantu mereka menyerap risiko kredit yang meningkat.

S&P Global menambah masalah yang melanda bank-bank negara Amerika Syarikat, serta Credit Suisse baru-baru ini akan menunjukkan kesan penyebaran yang terhad.

"Deposit isi rumah yang ketara menambah kestabilan pada profil pendanaan bank-bank Malaysia, dengan portfolio pelaburan membentuk kira-kira 20 peratus daripada jumlah aset (manakala) separuh daripada pendedahan adalah dalam sekuriti kerajaan yang selamat," tambahnya.

Anand berkata permodalan yang baik dan asas deposit runcit yang stabil adalah kekuatan kredit utama bagi bank-bank Malaysia. – Bernama

Berita Harian X