KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) memperkenalkan kad kredit virtual (VCC) Visa dengan ciri nombor kad boleh ubah pertama di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam, berkata melalui VCC terbaharu itu, pengguna boleh mengubah nombor kad mengikut keperluan transaksi.
Beliau berkata, ciri unik itu membolehkan pengguna meningkatkan keselamatan kewangan selain membantu menguruskan transaksi dengan lebih cekap.
Ia juga katanya adalah usaha mengukuhkan sistem keselamatan transaksi digital.
Katanya ciri yang dipertingkatkan ini menjana nombor kad kredit 16 digit secara rawak bagi setiap transaksi termasuk transaksi e-dagang, perkhidmatan penstriman dan langganan bagi memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup pelanggan.
"Sebagai sebahagian daripada strategi Acceler8 Alliance Bank, bank akan terus memacu transformasi digital untuk memberikan penyelesaian yang lebih pantas, lebih baik dan lebih peribadi kepada pelanggan.
"Nombor kad dinamik sekali guna ini menawarkan cara yang lebih selamat dan lebih dilindungi bagi membuat pembelian harian dan meminimumkan risiko penipuan, kecurian identiti dan penipuan kewangan lain yang dihadapi oleh pelanggan.
"Tambahan pula, ia turut membawa impak yang positif kepada alam sekitar kerana langkah ini mengurangkan pengeluaran kad kredit plastik dan membantu mengurangkan jejak kad kredit pada saluran dalam talian," katanya selepas pelancaran VCC terbaru Alliance Bank di sini hari ini.
Kam berkata, seiring dengan pelancaran VCC itu juga, bank menyasarkan pelanggan kad kreditnya akan meningkat sekali ganda berbanding 120,000 pengguna ketika ini.Beliau berkata, dalam tempoh jangka masa panjang, kad kredit tradisional bank juga akan dipertingkatkan dengan ciri visual.
Ini katanya akan membolehkan bank menjadi perbankan digital terulung di Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li berkata, pelanggan juga diberikan fleksibiliti untuk menentukan nombor kad dinamik yang khusus serta berapa kali nombor ini boleh digunakan untuk perkhidmatan langganan tertentu.
Beliau berkata, ini membolehkan mereka menjejak dan menguruskan transaksi digital pada bila-bila masa di mana-mana sahaja secara lebih mudah dan selamat menerusi telefon mudah alih masing-masing.
"Selaras dengan pendekatan Alliance Bank yang mengutamakan pelanggan, kami sentiasa membawa pembaharuan dan menambah baik penyelesaian digital kami untuk memenuhi keperluan perbankan pelanggan yang sentiasa berkembang dan juga menyediakan pengalaman pembayaran digital yang lancar.
"Ciri baharu pada kad kredit maya Alliance Bank Visa mampu menangani kebimbangan terhadap pelanggaran data kad kredit di tapak pihak ketiga apabila pelanggan membuat transaksi secara dalam talian," katanya.
Pai Li berkata, data daripada Surfshark menunjukkan Malaysia mencatatkan 154 pelanggaran data bagi setiap 100 orang pada 2022.
Beliau berkata, justeru itu pengenalan nombor kad dinamik dapat memenuhi keperluan pasaran untuk mod pembayaran barangan dan perkhidmatan yang lebih peribadi dan selamat terutamanya dalam kalangan profesional muda.
Pelanggan katanya boleh memohon untuk mendapatkan kad kredit maya Visa dari bank dengan mudah menggunakan aplikasi allianceonline.
"Pelanggan sedia ada yang sebelum ini memohon melalui rakan niaga Bank kini boleh mengakses kad kredit maya secara terus melalui aplikasi yang sama.
"Proses permohonan melalui dalam talian sepenuhnya adalah cepat dan mudah dengan penyerahan dokumen sokongan seperti penyata KWSP atau slip gaji secara digital," katanya.