KUALA LUMPUR: Mynews Holdings Bhd selesai melaksanakan usaha rasionalisasi melalui penutupan sekitar 100 kedai yang berprestasi rendah dalam tempoh satu hingga dua tahun lalu.
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Soong Wei Siang, berkata usaha rasionalisasi itu dijangka memperkukuhkan prestasi kewangan Mynews tahun ini selepas memulakan 2023 pada tahap yang lebih perlahan.
"Meskipun ia mengalami permulaan yang lembab tahun ini, kami menjangka akan adanya penambahbaikan, memandangkan jenama CU sedang diperkukuh secara berperingkat.
"Hal ini kerana pelancaran pelbagai produk baharu sejak ketibaan bekalan buruh baharu ke pusat pemprosesan makanan (FPC).
"Aktiviti pemasaran dan promosi yang semakin giat dijalankan memandangkan francais CU sudah mencapai saiz rangkaian kedai yang agak besar iaitu 131 kedai setakat suku pertama tahun kewangan 2023.
"Kami meramalkan peningkatan trend makan di kedai serbaneka yang berpanjangan, dengan mempertimbangkan gaya hidup yang sibuk dan tahap kesedaran lebih tinggi dalam kalangan pengguna mengenai kebersihan," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Wei Siang berkata, sehubungan itu syarikat yang awal memulakan perkhidmatan makan di kedai serbaneka seperti Mynews berpeluang baik untuk meraih permintaan yang muncul apabila budaya ini semakin diamalkan.
"Model perniagaan yang lebih kemas dihasilkan bagi memenuhi pilihan keutamaan pengguna. Pemulihan perjalanan udara juga patut terus meningkatkan prestasi kedai WH Smith yang terletak di lapangan terbang antarabangsa," katanya.
Mynews mencatatkan kerugian teras RM3.1 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023, prestasi yang lebih baik berbanding kerugian sebanyak RM7.1 juta pada suku sama tahun lalu.
Wei Siang berkata, prestasi itu gagal mencapai anggaran yang dibuat oleh RHB Investment Bank dan juga unjuran oleh konsesus.
Katanya, sisihan negatif ini terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan operasi (opex) lebih tinggi daripada jangkaan akibat kenaikan tarif elektrik dan pindaan pada Akta Pekerja yang menyebabkan kos gaji meningkat.
"Kami tetap positif terhadap Mynews dan menjangkakan penambahbaikan buat CU, kerana pihak pengurusan sedang memperlahankan pengembangannya dengan sasaran antara 80 hingga 100 kedai pada tahun kewangan 2023," katanya,
RHB Investment Bank mengekalkan saranan beli untuk saham Mynews dengan harga sasaran baharu 66 sen, berbanding 73 sen sebelum ini.