KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Sdn Bhd, pengendali rangkaian pasar mini 99 Speed Mart merancang membuka sekitar 300 cawangan baharu di seluruh negara tahun ini.
Pengarah Operasi Cawangan 99 Speed Mart, Yong Eng Kwang, berkata syarikat yang kini memiliki 2,300 cawangan pasar mini setakat ini, melihat banyak potensi dan peluang untuk mengembangkan perniagaan khususnya di kawasan baharu membangun serta kejiranan yang padat.
"Kami mahu menawarkan barangan pada harga murah kepada semua selaras dengan slogan kami 'Dekat Lagi Murah'.
"Setiap cawangan baharu membabitkan pelaburan sekitar RM300,000 untuk barangan sahaja tidak termasuk kos berkaitan premis," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Jualan RAHMAH Bersama 99 Speed Mart di sini, hari ini.
Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Berhubung cadangan pembukaan pasar raya besar ekonomi seperti dicadangkan KPDN, Eng Kwang berkata, perkara ini akan dibincangkan secara terperinci dengan kementerian berkenaan
"Cadangan ini boleh dilaksanakan cuma kami perlu berbincang dengan KPDN kerana ia akan membabitkan banyak pihak. Pada kami, ia satu cadangan yang sangat baik," katanya.
Ditanya mengenai pendekatan perniagaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beliau menjelaskan, produk PKS memenuhi sekitar 30 peratus daripada ruang yang adalah dalam premis 99 Speed Mart.
Malah, katanya, produk keluaran PKS termasuk berasaskan makanan diletakkan pada rak yang sama dengan jenama besar bagi membolehkan persaingan lebih sihat dan memberi peluang kepada pelanggan membuat pilihan.
"Kita bagi peluang sama untuk PKS bersaing dengan nama besar. Sebagai contoh, jenama kicap PKS akan diletakkan pada rak sama dengan jenama terkemuka lain. Ia untuk persaingan lebih sihat dan mudahkan pelanggan membuat pilihan," katanya.
Sementara itu, pelaksanaan Inisiatif Payung RAHMAH di seluruh 2,300 cawangan 99 Speed Mart di seluruh negara meliputi aktiviti jualan yang berlangsung selama sebulan mulai 23 Mac 2023 sehingga 22 April 2023.
Jualan itu membabitkan sebanyak 150 pelbagai produk barangan asas dan perlu seperti beras, susu tin, air minuman, ketupat mini, kordial, barangan pencuci, mentega, biskut raya dan sebagainya yang masing-masing ditawarkan pada harga yang lebih rendah sehingga 40 peratus berbanding harga jualan murah sedia ada.
Salahuddin berkata, KPDN melihat tambahan diskaun di bawah Jualan RAHMAH yang ditawarkan oleh 99 Speed Mart sebagai tawaran yang amat berbaloi, berpatutan dan mampu milik kepada seluruh rakyat Malaysia, seiring dengan keperluan rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan asas.
"Jualan RAHMAH ini juga dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan bagi persediaan untuk menyambut bulan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.
"KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini.
"Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna, khususnya menjelang musim perayaan yang bakal menjelang," katanya.
Beliau menjelaskan, di bawah Inisiatif Payung RAHMAH yang diterajui oleh KPDN, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga yang berpatutan, disamping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga.
"Inisiatif Payung RAHMAH adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan strategik yang terbabit," katanya.