Rabu, 15 March 2023 | 11:46am
Ketua Negara Penyelesaian Sistem Panasonic Malaysia dan Ketua Jabatan Strategik B2B Seelan Kandasamy (kiri).
Ketua Negara Penyelesaian Sistem Panasonic Malaysia dan Ketua Jabatan Strategik B2B Seelan Kandasamy (kiri).

Panasonic tingkat kecekapan perniagaan dengan penyelesaian bersepadu

Pameran penyelesaian pintar masa hadapan itu memfokuskan kepada teknologi pintar, hijau dan penyelesaian imersif

KUALA LUMPUR: Panasonic telah menampilkan penyelesaian pintar canggih terkininya pada 'Panasonic FutureTech 2.0' yang berlangsung di ibu negara dari 14 Mac hingga 16 Mac 2023.

Pameran penyelesaian pintar masa hadapan itu memfokuskan kepada teknologi pintar, hijau dan penyelesaian imersif dengan sasaran lima cabang utama iaitu institusi pengajian tinggi awam dan swasta; pejabat korporat dan kerajaan; industri pemaju dan pembinaan; industri pembuatan dan industri hospitaliti.

Ketua Negara Penyelesaian Sistem dan Ketua B2B Panasonic Malaysia, Seelan Kandasamy, berkata 'Panasonic FutureTech 2.0' mempamerkan pelbagai pilihan penyelesaian lengkap merentasi pasaran cabang utama berbeza.

Beliau berkata, ia menawarkan teknologi inovatif, direka untuk menghasilkan penyelesaian teknologi pintar dan hijau luar jangkauan bagi menambah baik pengalaman pelanggan, serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan industri.

Katanya, antara penyelesaian pintar canggih yang dipamerkan di 'Panasonic FutureTech 2.0' termasuk pameran penyelesaian pengurusan fasiliti pintar dan bangunan hijau S.iCity.

"Panasonic FutureTech 2.0 bertujuan untuk mempamerkan penyelesaian terkini keselamatan pintar dan pengurusan kemudahan kawasan perbandaran, kampus dan pengurusan bangunan untuk sistem pengurusan kawalan yang lebih bijak, selamat, menjimatkan kos dan efektif.

"Pameran ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk membantu sektor korporat dan awam berkembang dan kekal berdaya saing dalam era transformasi digital dan transformasi hijau," katanya pada pelancaran Panasonic FutureTech 2.0.

Panasonic adalah peneraju penyedia rangkaian penyelesaian bersepadu meliputi keselamatan yang komprehensif, teknologi maklumat/komunikasi, perisian aplikasi dan teknologi pemusatan video audio profesional.

Kandasamy berkata, seiring dengan kemajuan teknologi ke arah rangkaian gabungan, Panasonic terus memperkenalkan produk bercirikan 'IP Centric' atau internet kebendaan (IoT) dengan matlamat untuk meningkatkan produktiviti sambil mengurangkan jumlah kos pemilikan.

Beliau berkata, kelebihan Panasonic ialah kepelbagaian rangkaian produk dan penyelesaian, yang mana kelebihan itu dipertingkatkan lagi dengan kerjasama rakan kongsi teknologinya, RFnet, Extron, Calms, Macking Domain, ASI Synergy dan TDSi untuk menawarkan pelanggan penyelesaian di bawah satu bumbung.

"Pelanggan tidak perlu lagi mencari-cari berbagai vendor atau pembekal kerana kami akan dapat memenuhi keperluan ini.

"Panasonic bersama rakan kongsi kami akan dapat menawarkan perkhidmatan profesional yang merangkumi perundingan, reka bentuk sistem, demonstrasi dan penyepaduan sistem untuk memenuhi keperluan pelanggan," katanya.

Panasonic Malaysia Sdn Bhd ialah syarikat jualan, perkhidmatan dan pemasaran bagi produk elektrik dan elektronik jenama Panasonic, termasuk produk audio visual, perkakas rumah, pendingin udara, kualiti udara dalaman, perniagaan solar, kamera digital dan video, kelengkapan penyiaran profesional, penyelesaian sistem, telekomunikasi, kesihatan dan penjagaan kecantikan, bateri dan lampu.

Berita Harian X